Polis memanggil penceramah bebas, Dr. Zakir Naik bagi memberi keterangan berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keamanan dalam satu syarahan di Kelantan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, penceramah itu dipanggil selepas menerima 115 laporan polis berhubung perkara tersebut.

Katanya, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan pihaknya memberi amaran keras agar menghentikan penyebaran perkara-perkara yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.

“Siasatan sedang dijalankan. Cuma apa yang boleh saya nyatakan di sini hentikanlah dari penyebaran perkara yang memecahkan keharmonian. Pihak polis kita akan ambil tindakan ke atas siapa yang ingin berhasrat mengganggu ketemteraman. Ini satu amaran daripada pihak polis,” ujar Mazlan.

Sebelum ini Zakir dilaporkan membuat kenyataan pedas terhadap kaum Cina sebagai respons balas atas gesaan pengkritiknya supaya beliau keluar dari negara ini.

Kenyataan itu dibuat pada satu syarahan di Kelantan, Khamis lalu, di mana Zakir turut mengeluarkan kenyataan berkaitan penganut Hindu yang menurutnya lebih percaya dengan Perdana Menteri India berbanding Malaysia.

Terdahulu, Mazlan melakukan lawatan ke atas Ketua Polis Daerah Besut, Mohd Zamri Mohd Rowi yang cedera akibat di tetak di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Keadaan mangsa dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan selama 14 jam bagi menyambung semula ibu jari yang terputus.