Kementerian Kesihatan memaklumkan seramai 12,160 rakyat negara ini telah pulang dari luar negara dalam tempoh dua minggu lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut 95 kes positif dikesan dalam kalangan mereka termasuk yang dikuarantin.

Dalam pada itu, setakat ini KKM telah mengambil 7,910 sampel membabitkan kumpulan tersebut.

"Justeru, tindakan mewajibkan semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara untuk ditempatkan di stesen kuarantin di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah bertepatan.

"Tindakan proaktif ini telah menyaksikan peningkatan jumlah kes yang dilaporkan di negeri di mana mereka dikuarantinkan.

"Misalnya peningkatan 37 kes di Melaka, 32 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga kes di Sarawak, tiga (Johor), dan dua (Selangor). Kes-kes positif ini telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital," katanya dalam sidang media harian di sini, pada Selasa.