12 individu hilang lebih setengah juta akibat ditipu

12 individu hilang lebih setengah juta akibat ditipu
Mangsa terlalu mudah percaya apabila mereka kononnya dikatakan melakukan kesalahan melibatkan pihak berkuasa. - Gambar hiasan
SEPANG: Kegiatan penipuan (scam) melalui penggilan telefon di daerah ini semakin membimbangkan, dengan 12 individu telah menjadi mangsa dalam tempoh lima bulan pertama, tahun ini melibatkan kerugian berjumlah RM525,242.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dan lima wanita berusia antara 21 hingga 65 tahun, dengan pelbagai latar belakang pekerjaan dan bangsa.

"Tiga orang adalah peniaga, tiga eksekutif syarikat, selebihnya setiausaha, jurutera, suri rumah, jurujual, pesara kerajaan dan pegawai teknologi maklumat (IT)," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata seorang daripada mangsa diperdaya sehingga RM244,000 selepas menerima panggilan telefon daripada seorang individu memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Citibank yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes penipuan kad kredit.

Mangsa menafikan penglibatan dalam kes itu, dan suspek menawarkan diri membantu melalui Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan meminta mangsa menghantar Kod Pengesahan Transaksi (TAC) yang diterimanya kepada suspek dan mangsa telah berikan nombor TAC secara berperingkat hingga berjumlah RM244,000.
Dalam satu lagi kes, Abdul Aziz berkata mangsa berkenalan dengan individu bernama "Derick Martins" melalui laman sesawang sosial Grindr yang ingin menghantar wang tunai AS$150,000 kepada mangsa menggunakan kargo.

"Mangsa menerima panggilan ejen kargo, mengatakan barangan telah ditahan pihak Kastam dan meminta mangsa membuat bayaran untuk mengisytihar wang tunai tersebut. Pengadu buat bayaran berperingkat hingga RM76,530 sebelum merasakan dirinya ditipu," katanya.

Abdul Aziz berkata polis menghadapi kesukaran dalam menyiasat kes sedemikian memandangkan sindiket menggunakan nombor akaun individu lain untuk melakukan transaksi.

"Contohnya mereka memberi upah kepada seorang remaja kampung berusia 17 tahun untuk menggunakan nombor akaun ibunya. Bila kita tangkap, wanita itu kata tidak tahu menahu, kerana akaun dipegang anaknya.

"Anaknya pula kata ada orang beri upah nak tumpang akaun. Bila kita siasat benar dia dapat upah saja, jadi siapa yang kita hendak dakwa?" katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata polis Sepang berjaya menyelesaikan 11 kes pecah rumah di Apartment Savanna Executive Suites, Dengkil dengan penahanan dua lelaki dan seorang wanita pada 17 Mei lepas.

"Bila kita siasat, seorang daripada lelaki itu mempunyai 23 rekod jenayah, seorang lagi ada dua rekod jenayah dan wanita tersebut pula mempunyai 11 rekod jenayah," katanya.

Abdul Aziz berkata pelbagai barang curi turut dirampas antaranya 29 telefon bimbit, 15 jam tangan, empat kad bank, tiga kamera, dua komputer riba, barang kemas, topi keledar, sebuah kereta dan pelbagai alatan pecah rumah.

"Berdasarkan barangan yang dirampas kita percaya kumpulan ini juga aktif melakukan kegiatan pecah rumah, ragut dan pecah kereta di daerah-daerah berdekatan," katanya.

Bagaimanapun, katanya polis masih mengesan dua lagi lelaki Syed Ahmad Zaki Syed Zin, 30, yang merupakan suami kepada suspek wanita terbabit dan Ahmad Eiman Razali, 23, yang turut disyaki terbabit dengan kes itu.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Sub Inspektor Roselee Ibrahim di talian 013-8961912 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

Tag: sindiket penipuan, scam, macau scam, mangsa, polis, pdrm


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.