Seramai 12 pemancing termasuk tekong berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas hampir 48 jam tersadai di lautan setelah bot dinaiki mereka mengalami kerosakan.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kesemua pemancing yang berasal dari Pahang dan Kuala Besut itu dikesan kira-kira jam 1 pagi Rabu.

Katanya, bot dari Kuala Besut itu dikatakan telah keluar ke laut sejak tiga hari lalu sebelum mengalami kerosakan pada bahagian kipas.

“Kita telah berjaya membawa pulang sebuah bot yang mengalami kerosakan disekitar 130 batu nautika dari Kuala Terengganu ini sekitar pelantar tapis and memaklumkan bot tersebut mengalami kerosakan pada kipas.

“Kita terima maklumat ini daripada Exxon Mobil melaporkan kepada pihak APMM untuk minta bantuan bagi menyelamatkan bot tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata kesemua mangsa berusia antara 30 hingga 56 tahun berada dalam keadaan selamat.

Susulan kejadian itu, Muhammad Suffi menasihatkan pengusaha bot yang menjalankan perkhidmatan memancing tidak membawa penumpang ke lokasi terlalu jauh bagi tujuan keselamatan.

Katanya, dengan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, sebarang kemungkinan akan berlaku selain keadaan fizikal bot yang kecil dan tidak selamat untuk berada di laut dalam.