Sejumlah 121.91 kilogram (kg) dadah bernilai kira-kira RM6.45 juta dirampas dalam serbuan Operasi Damn Tokan 2.0 pada 29 Oktober lalu.

Serbuan satu hari itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama kontinjen narkotik seluruh negara.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader berkata, menerusi serbuan tersebut seramai 468 individu berusia antara 18 dan 46 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam penjualan dadah secara runcit.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 443 adalah lelaki, manakala 25 orang adalah perempuan.

“Berdasarkan pecahan kategori tangkapan, individu yang memiliki bekalan adalah seramai 163 orang; memiliki dadah (95); urin (21); dan seramai 189 orang ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Langkah-langkah Pencegahan Khas),” katanya.

Mohd Khalil berkata demikian pada Majlis Pemakaian Pangkat pegawai kanan JSJN di Dewan Theatrette Menara 1, Bukit Aman, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya turut berjaya menyita beberapa barangan termasuk sebuah kenderaan dengan nilai sitaan berjumlah RM1.226 juta.

“Operasi damn tokan difokuskan kepada mereka yang menjual dadah kerana sekarang ini Jabatan Nakotik perlu mengubah cara dalam membanteras kegiatan tersebut.

“Saya juga dapati apabila kita melakukan operasi ini, kita dapat menyekat pembekal dan ia dapat membantutkan operasi perniagaan sindiket ini. Malah, penagih juga tidak mendapat bekalan mereka,” katanya.

Mengulas mengenai operasi 'ice breaker', Mohd Khalil berkata ia memfokuskan kepada sarang penagihan dadah, yang kini sebanyak 141 lokasi dikesan telah kembali aktif.

"Ia melibatkan penagih dan pengedar. Jadi, kita sudah mengenal pasti beberapa lokasi di Malaysia iaitu sebanyak 240 kawasan, dan sebanyak 141 lokasi telah kembali aktif.

"Setelah kita berjaya mengesan lokasi-lokasi ini, seramai 7,000 orang telah berjaya ditangkap," katanya.

Sebelum itu, Mohd Khalil mengumumkan dua pegawai kanan JSJN dinaikkan pangkat kepada Senior Asisten Komisioner (SAC).

Mereka adalah SAC Dalbir Singh Tanah Singh dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta), JSJN Bukit Aman dan SAC Lukas Aket dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi).