Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

13,230 individu PUS dirawat di 178 pusat kuarantin - Ismail Sabri

13,230 individu PUS dirawat di 178 pusat kuarantin - Ismail Sabri
Ismail Sabri berkata, sehingga hari ini, seramai 34,982 individu telah selesai jalani kuarantin wajib. Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia menyediakan sebanyak 270 pusat kuarantin untuk menempatkan individu di bawah pengawasan (PUS).

Bagaimanapun, daripada jumlah itu, katanya hanya 178 pusat kuarantin sedang digunakan untuk menempatkan 13,230 PUS manakala 92 lagi berada dalam keadaan bersiap sedia.
“Semalam, seramai 1,131 rakyat malaysia telah pulang ke tanah air dari Singapura, Indonesia, Thailand, China, Mesir, Laos, Jepun serta Belanda dan telah dikuarantin secara wajib.

“Secara keseluruhan, seramai 44,253 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air sejak 3 April lalu dan menjalani kuarantin secara wajib.
“Sehingga hari ini, seramai 34,982 individu telah selesai jalani kuarantin wajib dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya pada Jumaat.