Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ) mendedahkan 13 ahli Parlimen kerajaan masih lagi belum melakukan pengisytiharan harta setakat Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Bahrin Mohd Jamil berkata, pada masa sama, 24 setiausaha politik dilaporkan tidak melakukan perkara sama.

"Setakat Jumaat hari itu, masih ada 13 ahli Parlimen kerajaan yang belum membuat pengisytiharan harta dan 24 setiausaha politik yang membuat pengisytiharan harta.

"Sekarang ada 113 ahli Parlimen kerajaan telah membuat pengisytiharan harta," katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Flag Off Walkabout Perdana 2018 oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull di lobi Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Ketika ini, langkah sedia ada adalah menggunakan kod etika anggota pentadbiran dan kod anggota ahli Parlimen kerajaan.

Bagaimanapun, SPRM sedia membantu ahli Parlimen berkenaan membuat isytihar harta kerana langkah berkenaan adalah janji mereka kepada rakyat.

"Itu adalah janji mereka, jadi merekalah perlu melaksanakannya sebab dari segi keputusannya mereka perlu membuat pengisytiharan harta kepada Perdana Menteri dan salinannya perlu diserahkan kepada SPRM. Jadi nak buat ke tak buat, terpulang kepada mereka," ujar beliau.

Setakat ini katanya, belum ada lagi undang-undang yang membolehkan SPRM mewajibkan mana-mana ahli Parlimen berbuat demikian.

Justeru katanya, hasil cadangan mewajibkan pengisytiharan harta kepada semua ahli parlimen berkenaan akan diserahkan kepada Perdana Menteri pada April depan.

"Kita akan cadang kerajaan wujudkan pindaan udang-undang kepada Akta sedia ada SPRM atau wujudkan akta khusus bagi mengkehendakkan ahli parlimen dan pegawai kerajaan buat pengistiharan harta kerana buat masa ini langkah itu tidak ada. Hanya maklumat diportal dan hanya guna code ethic saja, nothing much on legal binding.

"Kerajaan telah minta cadangan dan Ketua Pesuruhjaya SPRM kata dalam April akan dikemukakan kepada kerajaan untuk menjadikan undnag-undang SPRM atau akta khusus mewajibkan ahli parlimen pembangkang dan kerajaan melakukan pengisytiharan harta dan dipantau SPRM," tambahnya.