Tutup

13 menteri, 23 timbalan menteri angkat sumpah

13 menteri, 23 timbalan menteri angkat sumpah
Sultan Muhammad V mengurniakan surat cara kepada Syed Saddiq pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Perlantikan dan istiadat mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta sumpah simpan Rahsia di Balai Rong Seri, Istana Negara, hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Seramai 13 lagi menteri Kabinet dan 23 timbalan menteri hari ini mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara.

Istiadat itu yang berlangsung di Balairong Seri turut disaksikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tiga belas menteri yang mengangkat sumpah hari ini menjadikan keseluruhan 26 menteri dalam Kabinet Dr Mahathir, 13 menteri terdahulu telah mengangkat sumpah pada 21 Mei lepas.

Istiadat yang bermula pada 11 pagi itu dimulakan dengan kumpulan pertama Jemaah menteri yang diketuai Anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Sejurus penerimaan surat cara pelantikan, Syed Saddiq melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum mewakili Ketua Hakim Negara dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau diiringi oleh Anggota Parlimen Alor Gajah Mohd Redzuan Md Yusof (Menteri Pembangunan Usahawan); Anggota Parlimen Kuala Langat Dr A. Xavier Jayakumar (Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli); Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna); Anggota Parlimen Selangau Baru Bian (Menteri Kerja Raya); Anggota Parlimen Indera Mahkota Datuk Saifuddin Abdullah (Menteri Luar Negeri) dan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim (Menteri Industri Utama).

Kumpulan kedua menteri yang mengangkat sumpah diketuai Anggota Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Rawa (Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Agama); Anggota Parlimen Bakri Yeo Bee Yin (Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar); Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abd Samad (Menteri Wilayah); Anggota Parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong (Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Undang-Undang); Anggota Parlimen Penampang Ignatius Darell Leiking (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri); dan Anggota Parlimen Silam Datuk Mohamaddin Ketapi (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya).

Barisan timbalan menteri yang mengangkat sumpah pada istiadat itu ialah Anggota Parlimen Sri Gading Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Kementerian Wilayah); Anggota Parlimen Tanjung Piai Dr Md Farid Md Rafik (Jabatan Perdana Menteri - Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial); Anggota Parlimen Kubang Pasu Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Kementerian Kewangan); Anggota Parlimen Kuala Pilah Eddin Syazlee Shith (Kementerian Komunikasi dan Multimedia); Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya Shamsul Iskandar Md Akin (Kementerian Industri Utama); Anggota Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani).

Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh (Jabatan Perdana Menteri - Agama); Anggota Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa (Kementerian Pembangunan Luar Bandar); Anggota Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye (Kementerian Kesihatan); Anggota Parlimen Balik Pulau Bakhtiar Wan Chik (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya); Anggota Parlimen Setampin Chong Chieng Jen (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna); Anggota Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli).

Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar (Kementerian Sumber Manusia); Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh Tseow Suan (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat); Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong (Kementerian Belia dan Sukan); Anggota Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri); Anggota Parlimen Kulai Teo Nie Ching (Kementerian Pendidikan); dan Anggota Parlimen Temerloh Mohd Anuar Mohd Tahir (Kementerian Kerja Raya).

Timbalan menteri lain yang mengangkat sumpah ialah Anggota Parlimen Lumut Dr Mohd Hatta Md Ramli (Kementerian Pembangunan Usahawan); Anggota Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin (Jabatan Perdana Menteri - Undang-Undang); Anggota Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Kamarudin Jaffar (Kementerian Pengangkutan); Anggota Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman (Kementerian Dalam Negeri); dan Anggota Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis (Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar).

Mereka masing-masing turut menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Richard dan Ali.

Istiadat itu berakhir dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pada 10 Mei lepas,  Dr Mahathir, 92, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh, sehari selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan tamatnya pemerintahan 61 tahun Barisan Nasional.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga kemudian mengangkat sumpah mengetuai barisan 13 anggota Kabinet pada 21 Mei lepas. -- Bernama

Barisan Kabinet Malaysia 2018 - Astro AWANI