Seramai 13 orang warga asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi yang diadakan pada 24 hingga 25 Mei lepas bermula 11 malam hingga 6 pagi, sekitar ibu negara.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim operasi diadakan di sekitar Jalan Changkat Bukit Bingtang, Kondominium Arena Green Bukit Jalil, Jalan Sepadu off Jalan Klang lama, Taman OUG Brickfields, Taman Len Seng, Cheras dan Metro Prima, Kepong.

“Seramai 28 warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu sembilan warga Afrika ditahan termasuk dua wanita, manakala tiga lelaki warga Bangladesh serta satu lelaki warga Nepal turut ditahan.

“Tindakan diambil mengikut seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan akta-akta berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata kesemua tangkapan dibawa ke Lokap Cheras dan IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Dalam operasi berkenaan, seramai 99 anggota dan pegawai kanan Polis Kuala Lumpur terlibat dalam operasi ini termasuk lapan orang pegawai daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

“Polis Kuala Lumpur memandang serius kebanjiran warga asing tanpa permit dan akan meneruskan operasi seumpama ini bagi membanteras permasalahan yang terjadi kerana ia turut menyumbang kepada kejadian jenayah.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan terus kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21469999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya.