Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 134 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jumaat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 19 individu direman, 22 orang dijamin manakala 93 individu dikenakan kompaun.

Menurutnya, antara kesalahan termasuklah aktiviti pusat urut tanpa lesen (12 kesalahan), aktiviti tidak ikut SOP (33 kesalahan), aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai (88 kesalahan) dan satu kesalahan melanggar perintah pengawasan di rumah.

“PDRM juga melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) solat Jumaat di 2,294 masjid melibatkan 283,255 jemaah pada 31 Julai dan mendapati semuanya mengikut SOP ditetapkan serta mengikut keluasan masjid,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 54,582 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“PDRM juga telah membuat 63 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 30,719 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata Ops Sanitasi Awam diselia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 9,456 operasi sanitasi merangkumi 134 zon.

Menurutnya, sebanyak 12,776 premis telah disanitasi, terdiri daripada 2,690 pusat perniagaan, 5,602 bangunan kerajaan, 1,591 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,539 tempat awam dan 354 pasar raya.

“Semalam (31 Julai 2020), sebanyak 8 operasi sanitasi meliputi lapan zon termasuk satu Zon Kuning yang melibatkan dua buah negeri iaitu Sabah (enam operasi) dan Negeri Sembilan (dua operasi),” katanya.