Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menggagalkan cubaan militan Daish melancarkan serangan di sekitar Lembah Klang dengan penahanan 14 individu.

Dalam operasi yang dijalankan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman antara 14 hingga 20 Julai lalu, turut merampas bahan letupan Improvised Explosive Device (IED) seberat satu kilogram yang sedia untuk digunakan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata salah seorang suspek mengaku berkongsi pengetahuan bagaimana untuk membuat IED dengan militan lain melalui aplikasi Telegram.

"Dia mendakwa menerima arahan daripada Muhammad Wanndy untuk menghasilkan IED bagi melakukan serangan di Lembah Klang.

"Muhammad Wandy turut berjanji untuk membekalkannya sepucuk pistol bagi mempertahankan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tangkapan baharu itu susulan operasi memerangi keganasan selepas dua militan mengaku bertanggungjawab melakukan pengeboman di kelab malam Movida di Puchong ditahan bersama-sama dengan 13 militan lain pada 28 Jun dan 1 Julai lalu.

Tambah Tan Sri Khalid, seorang suspek berusia 49 tahun yang ditahan di Kedah merupakan ahli senior Daish yang masih aktif merekrut ahli menerusi usrah secara rahsia di Sik, Kedah.

Salah seorang yang direkrutnya adalah Abu Ghani Yaacob @ Abu Kedah yang terkorban di Syria pada 17 April lalu.

Kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah BAB VIA - kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) Akta 747.