Dianggarkan lebih 15,000 rakyat Malaysia dilaporkan masih berada di China pada ketika ini.

Menurut Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin, daripada jumlah itu kira-kira 20 individu termasuk seorang pelajar rakyat Malaysia kini berada di Wuhan, lokasi yang didakwa bermulanya penularan COVID-19.

Mereka adalah antara 21,000 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di republik itu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Kedutaan Malaysia di China menerusi enam konsulat di negara itu sentiasa memantau rapat pergerakan dan kebajikan rakyat Malaysia yang masih kekal berada di sana menerusi aplikasi WeChat.

Namun beliau menjelaskan, susulan pandemik itu, hampir kesemua ahli keluarga, pegawai atau mereka yang bertugas di kedutaan Malaysia di republik itu telah diarah kerajaan pulang ke tanah air sejak Februari lalu .

"Melihat pada situasi semasa yang sudah terkawal, kita (kedutaan) dalam proses untuk membawa mereka kembali ke sini (China)," katanya kepada Astro AWANI menerusi temubual Skype di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Nushirwan menjelaskan lebih 200 rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka dibawa pulang dari Wuhan, China dengan pesawat khas melalui dua misi bantuan kemanusiaan kerajaan secara berasingan pada 4 Februari dan 26 Februari yang lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pasukan peninjau yang diwakili enam kakitangan terpaksa melalui fasa rumit apabila terpaksa mengumpul kumpulan pertama proses repatriasi dalam tempoh 48 jam sahaja.

"Sebenarnya Wuhan terletak lebih kurang tiga jam menggunakan jalan udara dari Beijing. Namun disebabkan beberapa larangan yang dikenakan oleh kerajaan China susulan lockdown, pasukan kita terpaksa memandu sejauh 1,171 kilometer yang mengambil masa kira-kira 17 jam.

"Ini kerana pasukan kita hanya ada 48 jam bagi memastikan mereka menaiki kapal terbang untuk kembali ke Malaysia," ujarnya lagi.

Nushirwan memberitahu, rakyat Malaysia bukan sahaja berada di Wuhan tetapi juga di sekitar bandaraya itu yang memerlukan pasukan peninjau untuk melalui kawasan larangan dan beberapa check point dengan bantuan kerajaan China.