Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengenal pasti 15 lokasi yang berisiko tinggi berlaku kejadian mati lemas, menurut menterinya, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata KPKT menerusi data Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti lokasi 'hotspot' tersebut berdasarkan insiden mati lemas yang membabitkan lebih daripada lima mangsa antara 2016 dan 2018.

Beliau berkata tahun lalu, sebanyak 182 insiden mati lemas dilaporkan di kawasan sungai atau tali air, 58 (pantai), 39 (lombong/tasik) dan 27 insiden di air terjun.

"Berdasarkan data JBPM bagi kejadian mati lemas kawasan rekreasi adalah sebanyak 260 kes pada 2016; 327 kes pada 2017 dan 309 kes pada 2018," katanya kepada pemberita selepas melancarkan logo Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) dan Modul Kesedaran Asas Keselamatan, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata JBPM diarah mengawasi mengawasi kawasan berisiko tinggi bagi tujuan keselamatan di mana kes mati lemas kerap berlaku pada cuti persekolahan yang bermula 22 Mac.

BACA: Bomba akan dilatih untuk penyelamatan di empangan tembok rendah

Justeru, beliau meminta ibu bapa mengawal pergerakan anak-anak mereka semasa berkunjung ke tempat rekreasi dan patuh kepada tanda amaran melarang aktiviti air atau panduan keselamatan di kawasan berisiko tinggi.

Zuraida berkata pelancaran logo MKAA merupakan satu inisiatif untuk memberi kesedaran awam berhubung penubuhan dan peranan majlis tersebut dalam menyampaikan mesej kesedaran dan kepentingan keselamatan di air.

Katanya, Modul Kesedaran Asas Keselamatan Air pula merupakan inisiatif untuk pelajar sekolah berhubung keselamatan ketika menjalankan aktviti di air.

BACA: Tambah baik SOP bomba selepas kajian selesai - Zuraida

Dalam pada itu, katanya, laporan siasatan jawatankuasa kejadian enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang maut dalam misi menyelamat di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor Oktober tahun lalu, akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, bulan depan sebelum diumumkan kepada orang ramai.

Dalam insiden 3 Okt itu, enam anggota PPDA lemas akibat arus deras ketika misi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki yang terjatuh ke lombong tersebut.

LOKASI BERISIKO TINGGI:

Kawasan Sungai:

-------------------------



  1. Sungai Kampung Batu Payung, Tawau Sabah (15 nyawa)

  2. Sungai Sekolah Kebangsaan Cina Kampung Timah, Sungai Tinggi, Selangor (7)

  3. Sungai Kampung Sabak, Pangkalan Chepa, Kelantan (6)

  4. Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu, Selangor (6)

  5. Sungai Gasi, Sungai Buloh, Selangor (5)



Kawasan Pantai:



  1. Pantai Nipah, Bachok, Kelantan (14)

  2. Muara Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan (7)

  3. Teluk Bahang, Pulau Pinang (7)



Kawasan Lombong/Empangan:



  1. Empangan Semenyih, Semenyih, Selangor (10)

  2. Empangan Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor (10)

  3. Jambatan Stesen KTM, Sungai Buloh, Selangor (5)



Kawasan Air Terjun:



  1. Sungai Sendat, Ulu Yam, Selangor (12)

  2. Sekayu, Terengganu (11)

  3. Lata Berembun, Raub, Pahang (10)

  4. Chamang, Bentong, Pahang (5)



-- BERNAMA