Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Johor merampas 150 unit berus cat bulu babi dalam satu operasi di dua premis kedai perkakasan pembinaan hari ini.

Pemeriksaan juga mendapati, produk berkenaan menggunakan logo halal palsu bagi tujuan mengelirukan pengguna.

Timbalan Ketua Penguatkuasa KPDNKK negeri, Rizq Fazliana Abd Hamid berkata, serbuan bersama Jabatan Agama Islam Negeri Johor itu dibuat hasil maklumat orang awam.

Pengguna boleh mengenal pasti produk dari bulu babi dengan melihat pada hujung bulu yang digunakan. - Foto Astro AWANI
''Peniaga perlu lebih peka dengan isu ini (produk bulu babi dan anjing) yang merupakan isu sensitif kepada pengguna teruatama bagi yang beragama Islam.

''Pengguna juga dinasihatkan berhati-hati ketika membuat pembelian kerana kita tengok berlaku kebanjiran produk ini di pasaran yang dijual dengan herga murah,'' katanya selepas membuat pemeriksaan didua premis terlibat, di sini, hari ini.

Beliau menambah, pengguna boleh mengenal pasti produk dari bulu babi dengan melihat pada hujung bulu yang digunakan.

Ujarnya, jika bulu yang digunakan bercabang atau terpelah pada hujungnya, maka produk berkenaan adalah bulu babi.

Peniaga di Larkin Perdana itu katanya, dikenakan tindakan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Barang-barang diperbuat daripada mana-mana bahagian babi atau anjing) 2013.

Kedua-dua peniaga itu melakukan kesalahan kerana tidak meletakkan label 'diperbuat daripada babi' atau 'diperbuat daripada anjing'.

Bagi kesalahan kali pertama, peniaga boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara bagi perbadanan, boleh didenda sehingga RM5 juta.