Sebanyak 153 kes positif baharu berkaitan COVID-19 direkodkan di negara ini setakat 12 tengah hari Ahad, menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 4,683 kes.

Selan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 131 kes telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih adalah 2,108 atau 45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Oleh itu, setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,499 kes.

"Sehingga kini, seramai 66 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 37 kes memerlukan bantuan pernafasan," kata dalam sidang media di sini pada Ahad.


Sementara itu, tiga lagi kematian direkodkan di negara ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 76 kematian atau 1.62 peratus.

Katanya, ketiga-tiga mangsa yang merupakan warga negara Malaysia disahkan meninggal dunia pada Sabtu.

"Kes kematian ke-74 (kes ke-4531) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 54 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

"Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seramban pada 11 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 1.50 pagi.

"Kes kematian ke-75 (kes ke-3469) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 90 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

"Beliau telah dirawat di Hospital Taiping Perak pada 1 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 5.23 pagi.

"Kes kematian ke-76 (kes ke-4314) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 47 tahun dan mempunyai latar belakang darah tinggi.

"Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 8 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 7.36 pagi pagi," demikian katanya.