Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor menerima 16 aduan baharu berhubung susu rumusan bayi berjenama yang dipercayai tiruan.

Aduan itu diterima selepas rampasan susu tiruan pada 10 Disember didedahkan sehingga 21 Disember lalu.

Pengarah KPDNKK Johor, Khairul Anwar Bachok berkata, sebanyak 16 aduan itu diterima melibatkan sembilan di Johor Bahru, enam (Pontian) dan satu (Batu Pahat).

Menurutnya, aduan itu diterima selepas pihaknya merampas susu tiruan pada 10 Disember hingga Rabu lalu.

“Untuk makluman terdapat 16 aduan diterima setakat ini di Johor. Aduan sama ada diragui sebagai susu tiruan selepas ibu bapa mengesan anak mereka sakit.

“Berdasarkan aduan ibu bapa, mereka mendapati susu itu tidak tulen dan tiada lipatan tajam pada paket selain sampel susu berkenaan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa. Bagaimanapun tiada rampasan dilakukan setakat ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas di Pasaraya Econsave Senai, Kulai, Johor.

Jelas Khairul Anuar, pihaknya menyeru ibu bapa yang meragui susu rumusan berjenama membuat aduan kepada KPDNKK negeri.

Katanya apa sahaja proses mengangkap dan menghukum peniaga yang tidak bertanggungjawab itu adalah mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Pada 10 disember lalu, KPDNKK Johor berjaya merampas 210 kotak susu rumusan bayi disyaki tiruan berjenama dengan anggaran nilai RM 42,000.

Ia susulan pengeluar susu berkenaan mendapat aduan dari pengguna bahawa anak mereka mengalami muntah teruk selepas meminum susu berkenaan pada April lalu.