Polis telah membebaskan 161 dari 163 orang yang ditahan dalam satu serbuan mengejut oleh pihak polis ketika persembahan muzik di pentas independen, Rumah Api.

"Semua 161 belia telah dibebaskan tanpa syarat kecuali dua lelaki tempatan yang perlu melapor kembali pada 30 September. Mereka adalah pemilik Rumah Api (lokasi acara)," kata peguam Haijan Omar kepada The Malaysian Insider.

Tambahnya, dua lagi yang masih ditahan polis merupakan warganegara Indonesia dan Filipina dan masih menunggu untuk dokumen mereka diproses oleh agensi kerajaan berkaitan.

Tahanan Rumah Api ditahan bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan, Seksyen (4)(1)(b) Akta Hasutan dan Seksyen 6 Enakmen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan (Selangor).

Difahamkan pada Jumaat, polis menyerbu ruang persembahan itu ketika kumpulan muzik punk Virginia on Duty sedang beraksi pada kira-kira jam 11.30 malam.

Walaupun punca serbuan masih belum dijelas, ahli muzik veteran Joe Kidd memberitahu Malaysiakini beliau meragui serbuan itu mempunyai apa-apa kaitan dengan perhimpunan Bersih 4 yang bermula pada Sabtu dan berlangsung selama 34 jam sehingga tengah malam 31 Ogos.