Sebanyak 165 kes pulih dilaporkan setakat 12 tengah hari Sabtu, menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 1,995 kes atau 44.04 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata selain itu terdapat 184 kes baharu dilaporkan.

“Sehingga 11 April 2020 pukul 12.00 tengah hari, terdapat 184 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,530 kes.

“Sehingga kini, 72 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 38 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 2,462 kes membabitkan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19.

Jelasnya, angka tersebut diperolehi setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian.

“Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

"Mengikut trajektori unjuran KKM, pada 14 April 2020 iaitu apabila tamatnya fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), unjuran kes-kes positif dengan kebolehjangkitan adalah dijangka lebih kurang 2,033 kes.

“Ini tanda-tanda kejayaan PKP fasa pertama dan fasa kedua menurunkan kebolehjangkitan COVID-19 dalam komuniti,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata tiga lagi kematian berkaitan COVID-19 direkodkan di negara ini menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah 73 kematian atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketiga-tiga mangsa yang merupakan warganegara Malaysia disahkan meninggal dunia pada Sabtu.

“Kes kematian ke-71 (kes ke-3091) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan gout.

“Beliau mempunyai kontak rapat kes positif COVID-19 dari kluster perhimpunan Seri Petaling (iaitu kes ke-452). Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 1 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 11 April 2020 jam 12.05 tengah hari.

“Kes kematian ke-72 (kes ke-537) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 71 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

“Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 15 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 11 April 2020 jam 11.15 pagi.

“Kes kematian ke-73 (kes ke-2399) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

“Beliau telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak pada 25 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 11 April 2020 jam 12.00 tengah hari,” tambahnya.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM menasihatkan orang ramai untuk terus membantu kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dengan kekal duduk di rumah, mengamalkan jarak selamat sekurang-kurangnya satu meter dan kerap mencuci tangan.