Jawatankuasa siasatan bebas telah memanggil 17 individu berhubung kes gangguan seksual ke atas doktor pelatih oleh seorang ketua jabatan di sebuah hospital di Lembah Klang.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, individu itu termasuk 10 mangsa dan tujuh saksi yang ditemubual dan disiasat berhubung perkara berkenaan.

"Jawatankuasa siasatan bebas telah bermesyuarat dua kali dan kita telah membuat temu bual dan siasatan.

"Terkini, 10 mangsa dan tujuh saksi namun saya tidak boleh mendedahkannya,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran 1st Malaysian Men’s Health Conference Universiti Malaya di sini, pada Isnin.

Seminar dua hari itu akan membincangkan isu spesifik kepada kesedaran kesihatan lelaki dan penambahbaikan dalam aspek berkenaan.

Baru-baru ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan seorang Ketua Jabatan Ortopedik di sebuah hospital di Lembah Klang, beberapa kali membuat gangguan seksual terhadap beberapa Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) di bawah seliaannya.

Menurut sumber akhbar berkenaan juga, ketua jabatan di sebuah hospital yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap doktor pelatih itu telah mengambil cuti bagi tempoh yang tidak pasti.

Selain itu, pegawai kanan perubatan berkenaan juga telah dimaklumkan supaya bercuti susulan laporan media berhubung dakwaan gangguan seksual berkenaan.

Sementara itu di dalam ucapannya, Dr Dzulkefly menjelaskan, jangka hayat lelaki di Malaysia lebih pendek daripada wanita.

Ujarnya, pada tahun 2016, bayi lelaki yang baharu lahir boleh hidup sehingga usia 72.5 tahun manakala bayi perempuan pula 77.2 tahun.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Dzulkefly berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan bersama Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan mengenai usaha dan pelaksanaannya pada Rabu ini dalam isu Skim Perlindungan Kesihatan Nasional.

"Tidak ada satu garis masa yang jelas, tetapi kita sekarang berada di ambang 100 hari dan perkara ini terkandung dalam 10 janji 100 hari Pakatan Harapan.

"Andai Kabinet meluluskan, kita akan membuat pra-pelancarannya. Bagaimanapun, buat masa ini saya tidak dapat menyatakannya butirannya secara terperinci.

"Jadi kita tunggu majlis pelancarannya dan semua itu saya akan jawab dalam waktu terdekat," jelasnya.

Tambahnya, skim tersebut berbeza dengan Skim Peduli Sihat yang dibuat oleh negeri Selangor dan pelaksanaanya adalah lebih mendalam.