Seramai 178 individu ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Sabtu.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri, kesemua mereka ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika pemeriksaan dan pemantauan Prosedur Operasi Standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP).

"Daripada jumlah itu, lapan direman manakala 169 individu lagi dikenakan kompaun dan seorang dijamin.

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 62,126 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya dalam kenyataan media Pelaksanaan PKP pada Ahad.

Tambahnya, sebanyak 3,277 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 14,206 anggota telah membuat pemantauan di 3,945 pasar raya, 5,891 restoran serta 1,521 penjaja, 125 kilang, 3,580 bank dan 694 pejabat kerajaan.

Tidak ketinggalan 1,138 terminal pengangkutan darat, 212 terminal pengangkutan air serta 99 terminal pengangkutan udara turut dipantau.