Kementerian Kesihatan (KKM) pada Selasa memaklumkan sebanyak 1,712 kes atau 19.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini dikesan dalam kalangan pesakit berumur 18 tahun dan ke bawah.

Daripada jumlah tersebut, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 346 kes menjangkiti individu yang berusia dalam lingkungan 16 sehingga 18 tahun.

“Walau bagaimanapun, tiada kes kematian atau kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dilaporkan melibatkan kumpulan umur tersebut.

“Ini menunjukkan bahawa kes COVID-19 dalam kumpulan umur ini mempunyai kadar penyembuhan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham sekali lagi berkata pembukaan sesi persekolahan esok adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang telah disediakan.

Jelas beliau, garis panduan tersebut telah dibangunkan hasil kerjasama pelbagai pihak dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan para pelajar serta kakitangan sekolah.

BACA: Sekolah kelas peperiksaan awam SPM, SVM, STPM, STAM dibuka semula 24 Jun

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan pembukaan semula sekolah untuk murid kelas peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara adalah pada 24 Jun (esok).

Menterinya, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia melibatkan seramai 500,444 pelajar dan 2,444 sekolah menengah kebangsaan serta beberapa ratus sekolah antarabangsa di seluruh negara.