Seramai 19 wanita dari pelbagai latar belakang dan industri telah menerima pengiktirafan serta anugerah di Persidangan Ikon Wanita Malaysia yang julung kali di adakan di sini pada Selasa.

Persidangan yang dianjurkan oleh Business Excellence and Research Group (BERG) itu merupakan satu inisiatif untuk memartabatkan kedudukan wanita yang telah memberi sumbangan besar kepada masyarakat.

Antara wanita yang menjadi penerima Anugerah Ikon Wanita pada tahun ini termasuk Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Group, Raja Teh Maimunah; Pengarah Urusan PI Architect, Datuk Ar. Tan Pei Ing; dan Penari dan Koreografer, Kamini Manikam.

Pengurus Rakan kongsi BERG, Vishwesh Iyer berkata, proses pemilihan ikon wanita itu bukan sahaja melibatkan pencalonan yang diterima orang ramai tetapi syarikat terbabit juga mempunyai pasukan penyelidikan khas bagi mengenal pasti dan mengikuti rapat perkembangan kejayaan ikon wanita yang terpilih.

"Pasukan khas ini telah menyenaraikan nama-nama calon berdasarkan pemerhatian perkembangan dan kejayaan wanita-wanita ini.

"Kami percaya apabila kami memberi pengiktirafan kepada wanita berjaya bukan sahaja dari aspek keusahawanan tetapi mereka juga memainkan peranan dalam menyumbang sesuatu serta tidak sentiasa dalam zon selesa.

"Calon ini juga seperti wanita-wanita biasa yang mahu mencapai keseimbangan dalam kehidupan mereka antara pekerjaan dan keluarga," katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas acara persidangan tersebut.

Vishwesh menambah, sebelum ini, syarikat BERG juga pernah mengadakan persidangan wanita yang sama di peringkat Asia pada tahun lalu.

Katanya, platform untuk mengiktiraf kejayaan wanita amat diperlukan supaya ia menjadi sumber inspirasi dan model kepada wanita lain untuk mencapai cita-cita.

Persidangan yang berlangsung hari ini turut melibatkan beberapa panel yang membincangkan bagaimana untuk mewujudkan satu persekitaran yang mampu memupuk kepada kecemerlangan.

"Kita mengetahui kerajaan sememangnya telah berusaha dengan menetapkan kuota bilangan wanita dalam bidang pekerjaan selain kedudukan dalam lembaga syarikat dan sebagainya.

"Tetapi, tidak banyak syarikat mampu melaksanakannya lagi. Jadi bagaimana kita boleh mewujudkan satu forum supaya suara pekerja bawahan juga dapat didengar.

"Semua ini perlu bermula dengan perubahan minda dan infrastruktur dalam sesebuah organisasi terutama dalam memenuhi kuota wanita selain mendapatkan individu terbaik serta layak," katanya.

Selain itu, katanya usaha untuk menggalakkan kaum wanita memasuki dunia pekerjaan bukan sahaja menjadi tumpuan bagi negara yang sedang membangun tetapi juga negara-negara maju.

Tambah Vishwesh, wanita yang berjaya mampu memberi impak bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga keluarga, masyarakat dan negara.