19 lokasi 'hotspot' kejadian lemas

19 lokasi 'hotspot' kejadian lemas
Pengunjung dinasihati lebih berhati-hati ketika di kawasan jeram dan tali air berbahaya. - Gambar hiasan
MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti 19 lokasi 'hotspot' yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi berlaku kejadian lemas terutama pada musim cuti sekolah dan sambutan Aidilfitri bulan depan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, lokasi itu ditentukan berdasarkan data kejadian insiden mati lemas antaranya di sungai, air terjun, pantai dan tasik yang melebihi lima mangsa antara 2016 dan 2018.

"Jadi kita akan memastikan anggota kita membuat rondaan dengan memberi nasihat dan juga meletakkan papan tanda amaran kepada pengunjung terutama di kawasan perkelahan dan dianggap 'pro' untuk berlaku kelemasan.
"Antara lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi berlaku kejadian lemas adalah Pantai Port Dickson di Negeri Sembilan dan Pantai Puteri di Melaka, Air Terjun Sekayu di Terengganu dan Sungai Pertak di Selangor," katanya kepada pemberita pada majlis Jalinan Mesra Ramadan JBPM negeri Melaka di Bukit Katil di sini, Jumaat malam.


Beliau berkata, sebagai langkah berjaga-jaga pihaknya akan menempatkan sekurang-kurangnya satu pasukan di lokasi-lokasi itu untuk membuat rondaan berkala sekali gus menjimatkan masa tiba di lokasi kejadian sekiranya berlaku kecemasan.

Mohammad Hamdan berkata bagi meningkatkan mutu kawalan keselamatan, pihak bomba juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meletakkan papan tanda amaran berbahaya di peta-peta lokasi di kawasan perkelahan.

Menurut beliau langkah tersebut bertujuan memastikan pengunjung terutamanya yang datang dari luar agar lebih berhati-hati dengan kawasan jeram dan tali air berbahaya di sekitar tapak perkelahan mereka

-- BERNAMA




Tag: hotspot, JBPM, lemas, cuti sekolah, Aidilfitri, Mohammad Hamdan Wahid, mangsa


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.