Tutup

1MDB akan jawab Tony Pua semasa sesi prosiding PAC

1MDB akan jawab Tony Pua semasa sesi prosiding PAC
1MDB berkata tanpa menunggu siasatan dimuktamad, Tony Pua sebaliknya terus membangkitkan persoalan terburu-buru, tiada bukti, dalam cubaannya untuk mendapat kepentingan politik.
KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berkata ia akan menjawab anggota Parlimen Tony Pua semasa sesi prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan datang mengenai permintaan untuk menerbitkan  minit mesyuarat Lembaga Pengarah syarikat itu.

Syarikat pelaburan strategik itu berkata, ia telah menyerahkan dokumen asal syarikat, termasuk minit mesyuarat Lembaga Pengarah, kepada pihak berkuasa yang menyiasat 1MDB, seperti Polis Diraja Malaysia dan Ketua Audit Negara.
"Ini adalah mengikut setiap proses dan undang-undang negara kita," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Audit Negara mengesahkan laporan akhirnya akan tersedia sebelum akhir tahun ini dan akan diserahkan kepada jawatankuasa bebas, PAC, yang turut dianggotai Tony Pua.

PAC kemudiannya akan mengemukakan hasil siasatan kepada Parlimen, di mana semua maklumat berkaitan akan disediakan untuk orang awam.
1MDB berkata tanpa menunggu siasatan dimuktamad, Tony Pua sebaliknya terus membangkitkan persoalan terburu-buru, tiada bukti, dalam cubaannya untuk mendapat kepentingan politik.

"1MDB, bagaimanapun, kekal memberi tumpuan kepada penyiasatan, bekerjasama dengan pihak berkuasa. Sebenarnya, kami menanti untuk menjawab YB (yang Berhormat) Tony Pua - mengikut setiap proses dan dengan semua bukti sokongan - pada sesi prosiding PAC akan datang," katanya.


Tag: 1MDB, Tony Pua, PAC