Bekas Pegawai Khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin hari ini memberitahu mahkamah beliau tidak pernah menerima sebarang arahan daripada bekas Perdana Menteri itu untuk membuat sebarang laporan polis dan SPRM berhubung isu 1MDB itu.

Saksi pendakwaan kelapan perbicaraan 1MDB itu berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Ketua Pendakwaan, Gopal Sri Ram yang bertanyakan adakah beliau pernah membuat sebarang laporan terhadap isu terbabit.

Tambah Amhari, penghujung tahun 2014 dan awal 2015 merupakan detik yang agak mencabar baginya khususnya Jabatan Perdana Menteri yang berada di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

"Hujung tahun 2014 dan awal tahun 2015 merupakan tahun yang sukar bagi pejabat Perdana Menteri dan juga Najib sebagai PM ketika itu.

"Pada waktu itu banyak rencana dan dokumen tentang bukti penyelewengan 1MDB telah mula ditunjuk dan kami ambil keputusan untuk mempertahankan kerana menganggap ia merupakan satu konspirasi terhadap Perdana Menteri," katanya ketika memberikan keterangan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.


Katanya lagi, pada ketika itu mesyuarat juga sering mengangkat isu 1MDB terutamanya dana Petrosaudi yang dikatakan dana salah guna, terbitan filem Riza Aziz The Wolf Of Wall Street yang juga mempunyai kaitan dengan dana 1MDB serta termasuk isu kehidupan Jho Low yang dikatakan mewah.

Saksi kelapan itu selesai memberi keterangan dan perbicaraan pada sesi petang difahamkan akan diteruskan dengan keterangan saksi ke sembilan yang juga merupakan bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.