Rakyat diminta tidak mempercayai sekeping poster palsu di media sosial mengenai kenyataan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang tentang keengganan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk bekerjasama dalam siasatan kes mereka.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, isu itu tidak timbul selain menyifatkan ahli lembaga pengarah 1MDB sudah memberi kerjasama penuh dalam isu berkenaan.

"Poster disebar sehari dua ini dalam media sosial. Ia tidak benar. Pengurusan dan lembaga pengarah sudah beri kerjasama penuh kepada Jabatan Audit Negara (AG)," katanya dalam catatan di laman Twitter.


Sebelum ini, 1MDB memberitahu hanya akan menjawab sebarang persoalan mengenai isu berkenaan kepada Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sahaja.

Dalam satu kenyataan 1MDB, syarikat itu memaklumkan, mereka mengambil perhatian kepada setiap soalan yang ditimbulkan kepadanya di dalam media walaupun dilihat kekurangan bukti.

BACA: 'Kami hanya akan jawab kepada Ketua Audit Negara dan PAC' -1MDB

Sementara itu, sebuah portal melaporkan Ambrin menafikan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa 1MDB tidak memberi kerjasama dalam siasatan mereka.

"Saya tak keluarkan apa-apa kenyataan" katanya dalam sistem pesanan WhatsApp seperti yang dilapor portal berkenaan.

BACA: Biarkan Ketua Audit Negara siasat 1MDB terlebih dahulu - Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini dilaporkan berkata, jika semua pihak ikhlas mencari kebenaran dalam isu 1MDB, mereka perlu mendapatkan maklumat dari sumber yang sah seperti Ketua Audit Negara.

Ujar Najib, maklumat tidak sepatutnya diperoleh dari portal berita, pihak ketiga atau mana-mana blog yang mempunyai agenda tersembunyi.