Kementerian Kewangan hari ini menjelaskan bahawa jawapan bertulis Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat mengenai syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disediakan oleh pegawai kementerian berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia menjelaskan dokumen mengenai kedudukan kewangan 1MDB di bank BSI Singapura itu ditulis dan disemak oleh pegawai Kementerian Kewangan berdasarkan maklumat daripada syarikat berkenaan.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Kewangan meminda jawapan asal yang dibuat pada 10 Mac lepas supaya tidak timbul kekeliruan mengenai kedudukan kewangan 1MDB di BSI Singapura dan selaras dengan tuntutan urusan Parlimen.

BACA: Bohong isu wang 1MDB di Bank Singapura satu kesalahan jenayah - Dr Mahathir

"Tindakan Kementerian Kewangan meminda jawapan asal adalah bukti ia tidak berniat sama sekali hendak berbohong mengenai perkara itu," katanya.

Sehubungan itu, ia menyifatkan sebagai tidak wajar dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Najib, yang juga Menteri Kewangan, telah berbohong.

"Lazimnya jawapan bertulis di Dewan Rakyat dibuat atas nama beliau berdasarkan maklumat yang diberi oleh agensi berkenaan yang kemudiannya disemak dan diedarkan oleh para pegawai.

"Kementerian Kewangan telah pun mengambil tindakan sewajarnya agar perkara ini tidak berulang," kata kenyataan itu.