Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk menyekat sementara PetroSaudi International Ltd (PSI) dan Pengarahnya Tarek Obaid daripada memindahkan dana berjumlah lebih US$340 juta yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di United Kingdom (UK).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata mahkamah mempunyai kuasa untuk membenarkan perintah pemeliharaan sementara yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

“Saya membenarkan permohonan ini yang akan berkuat kuasa sehingga selesai kes permohonan utama,” katanya dan menetapkan 28 Ogos ini untuk mendengar permohonan utama berhubung perintah larangan itu.

Hakim membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lufti Mohamed dan Muhammad Izzat Fauzan, bagi pihak kerajaan, serta peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili Tarek Obaid, dan Alex Tan bagi pihak PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Limited (Diperbadankan di Barbados) (PSOS-VZ).

Dalam permohonan yang difailkan pada 10 Julai, kerajaan memohon perintah bagi menyekat sebarang urusan kewangan, berjumlah US$340,258,246.87 milik PSI dan anak syarikatnya PSOS-VZ yang dipegang oleh Clyde & Co LLP.

Kerajaan juga memohon wang yang tidak dinyatakan jumlahnya yang disimpan dalam akaun bank perantara atas nama Temple Fiduciary Services Limited di Barclays Bank, UK.

Kedua-dua wang yang dinyatakan dan tidak dinyatakan jumlahnya itu adalah milik PSOS-VZ yang dimiliki sepenuhnya oleh Tarek melalui PSI.

Permohonan yang difailkan menurut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) yang menamakan Tarek, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co dan Temple Fiduciary, masing-masing sebagai responden pertama hingga kelima.

Terdahulu, Budiman memaklumkan mahkamah bahawa pendakwaan telah memohon perintah ad-interim (sementara) susulan keputusan abitrasi pada Jumaat lepas yang memihak kepada PSOS-VZ.

“Sebaik wang itu dilepaskan dan diagih kepada responden ketiga (PSOS-VZ), tiada ada apa yang dapat dilakukan oleh kerajaan untuk mendapatkan wang terbabit daripada responden,” katanya.

Kedua-dua Mohd Yusof dan Tan membantah permohonan pihak pendakwaan untuk mendapatkan injunksi ad-interim, dengan Mohd Yusof berkata beliau tidak pasti sama ada mahkmah mempunyai kuasa untuk membenarkan perintah sementara kepada pendakwaan.

Sementara itu, Tan berkata pendakwaan mengetahui tentang prosiding abitrasi di UK dan mereka telah berhubung dengan pihak berkuasa UK namun meneruskan pemfailan permohonan tersebut minggu lepas.

“Saya tidak nampak sebarang asas bagi mahkamah untuk mengeluarkan perintah sementara ini,” katanya.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan yang disokong oleh afidavit yang diperakukan oleh Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Afiq Abd Aziz.

Mohd Afiq berkata beliau merupakan antara pegawai penyiasat yang bertanggungjawab dalam siasatan berhubung 1MDB dan semasa menjalankan tugasnya beliau telah menemukan maklumat yang mendorongnya untuk mempercayai dan mengesyaki bahawa aset yang disimpan di luar negara adalah hasil aktiviti haram.

Katanya, beliau mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai bahawa wang berjumlah US$340,258,246.87 setakat Februari 2019 yang kini disimpan dalam akaun escrow Clyde & Co bagi pihak PSOS-VZ, merupakan sebahagian daripada perkara atau bukti yang berkaitan dengan konspirasi untuk menipu yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Tarek, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan individu lain yang ada kaitan dengan 1MDB dan anak syarikatnya.

"Saya juga mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa ada akaun bank lain yang menjadi sebahagian daripada persoalan atau bukti yang berkaitan dengan skim untuk menipu 1MDB. Akaun bank yang saya maksudkan ialah akaun bank dengan nama dan/atau diuruskan oleh Temple Fiduciary Services Limited bagi pihak responden ketiga (PSOS-VZ),” katanya.

Mohd Afiq berkata permohonan di bawah AMLATFPUAA untuk menyekat wang itu adalah wajar sehingga mahkamah dapat menentukan secara sah sama ada wang tersebut adalah milik 1MDB.

-- BERNAMA