Parlimen digesa memperuntukkan dua hari pada sesi perbincangan Bajet 2016 akan datang khusus bagi membahas kenyataan oleh Majlis Raja-Raja Melayu berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Gesaan itu dibuat penasihat DAP, Lim Kit Siang yang meminta agar Parlimen menetapkan 19 dan 20 Oktober ini bagi membahas kenyataan itu yang turut berkait isu kedaulatan undang-undang dan perpaduan kaum.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, dua tarikh tersebut yang sepatutnya untuk sesi pembentangan bajet harus memberi keutamaan kepada apa yang dititah Raja-raja Melayu dalam kenyataan tersebut.

"Parlimen perlu mengetepikan dua hari pertama sesi Bajet pada 19 dan 20 Oktober untuk membahaskan kenyataan bersejarah mesyuarat Pra-Majlis Persidangan Raja-Raja kerana ia terkandung tiga perkara utama mewakili kebimbangan dan pemikiran rakyat Malaysia iaitu skandal RM50 bilion 1MDB, menyerlahkan kelemahan dalam segi kedaulatan undang-undang dan kerapuhan perpaduan di negara ini.

"Kabinet pada mesyuarat hari ini perlu bersetuju untuk mengetepikan dua hari pertama apabila Parlimen bersidang semula pada 19 Oktober ini bagi apa-apa perbahasan kebangsaan mengenai usul yang boleh digerakkan oleh Perdana Menteri sendiri, Menteri lain atau Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Kit Siang turut mempersoalkan adakah kerajaan berkongsi kesemua kebimbangan yang diutarakan Raja-raja Melayu.

"Adakah Perdana Menteri dan barisan kabinet berkongsi kebimbangan bahawa jika isu ini tidak bijak ditangani dan dibiarkan berlarutan, ia boleh menjejaskan ekonomi negara dan dan kehidupan rakyat serta mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

"Bolehkah kita mengharap balasan Kabinet mengenai kenyataan Raja-raja Melayu selepas mesyuarat menteri-menteri hari ini?" soal Kit Siang.

Kenyataan Raja-Raja Melayu dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad susulan mesyuarat Pra-Majlis Raja-raja yang diadakan di Istana Negara pada Selasa.