1Malaysia Development Bhd (1MDB) hari ini memaklumkan bahawa syarikat itu telah melangsaikan penuh pinjaman sebanyak RM2 bilion oleh anak syarikat operasinya kepada bank Malaysia.

Menurut satu kenyataan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Arul Kanda, pinjaman tersebut diselesaikan lebih awal daripada tarikh akhir, mengikut setiap syarat perjanjian kemudahan pinjaman.

"Dengan penyelesaian pinjaman ini, saya mengesahkan semula komitmen 1MDB untuk terus memenuhi semua tanggungan hutang kami yang perlu dibayar," katanya.

Minggu lalu, Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan telah membuat laporan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy mengenai kenyataan yang dibuat pada 13 Januari tentang pelaburan masuk berjumlah RM8.3 bilion.

Beliau turut mempersoalkan mengapa 1MDB telah menangguh pembayaran kepada bank yang berjumlah RM2 bilion itu.

Isu 1MDB menjadi hangat setelah syarikat yang milik penuh kerajaan itu dikatakan mengalami kerugian hampir RM38 bilion.

Ia turut mendapat kritikan pelbagai bukan sahaja dari pembangkang malah dari tiga mantan Menteri Kewangan iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga Tun Daim Zainuddin.

Bagaimanapun 1MDB telah memberi jaminan bahawa semua pelaburannya diurus secara berhemat dan profesional, dan dalam keadaan baik untuk membayar semua hutang.