Syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menafikan ia adalah pihak yang berdepan saman sivil oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Menurut satu kenyataan 1MDB menegaskan ia tidak mempunyai aset di Amerika atau mendapat manfaat daripada pelbagai transaksi seperti yang digambarkan menerusi saman sivil berkenaan.

1MDB menambah sehingga kini ia tidak dihubungi Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) atau mana-mana agensi asing berhubung siasatan mereka.

Syarikat itu juga mengulangi kesediaan bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa tertakluk kepada protokol antarabangsa yang mengawal hal-hal perundangan domestik.

Peguam negara AS Loretta Lynch sebelum ini memaklumkan beberapa individu menyalahgunakan dana syarikat 1MDB.

Tambah Lynch, individu tersebut memasukkan sejumlah dana ke akaun bank peribadi mereka.

"Kami tidak akan biarkan AS dijadikan platform untuk perpindahan wang haram," kata Lynch dalam satu sidang media pada Rabu untuk membincangkan saman yang difailkan untuk mendapatkan lebih daripada AS$1 bilion (RM4 bilion) yang dikaitkan dengan 1MDB.

Tambah Lynch, beliau berharap dana yang disalahgunakan ini akan dibawa kembali ke Malaysia.