14 anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan siasatan ke atas syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed juga berharap pihak 1MDB dapat memberi kerjasama penuh bagi melancarkan siasatan.

Menurut beliau, PAC sememangnya memandang serius usaha mereka dalam mendapat ketelusan maklumat daripada pihak-pihak yang terbabit dengan isu membabitkan perbelanjaan 1MDB itu.

Ia akan diteliti oleh14 anggota PAC yang terdiri daripada 9 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan 5 anggota Parlimen pembangkang.

“Dari segi PAC, sekiranya kita menyiasat 1MDB, kita adalah badan yang berkecuali yang dianggotai oleh parti Pembangkang dan parti Kerajaan. Bagi PAC tidak ada apa-apa yang dapat disembunyikan, yang penting kerjasama daripada pihak yang kita akan panggil dalam menjawab soalan dan membekalkan maklumat nanti," katanya ketika dihubungi Astro Awani.

BACA: Dr Mahathir setuju tubuh Suruhanjaya Diraja siasat 1MDB

BACA: Majoriti tidak faham isu 1MDB, kata Merdeka Center

BACA: PM arah Ketua Audit Negara teliti akaun 1MDB


Beliau turut berharap masyarakat dapat bersabar ketika proses siasatan dijalankan.

Pada 4 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Ketua Audit Negara meneliti akaun 1MDB berikutan laporan media terhadap syarikat itu selain menggesa 1MDB dan juruaudit mereka Deloitte menghadap Kabinet.

PAC dalam reaksinya telah menyambut baik arahan Kabinet itu dan berharap jabatan itu dapat melakukan audit dengan segera terhadap syarikat milik Kementerian Kewangan itu.