1Malaysia Development Bhd (1MDB) memerlukan masa untuk membangun atau mencairkan asetnya bagi membayar hutang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, syarikat itu perlu meminjam wang bagi tujuan pengembangan, memandangkan 1MDB mempunyai modal permulaan hanya RM1 juta.

Beliau berkata, 1MDB bermula dengan modal RM1 juta sahaja, berbeza dengan Permodalan Nasional Bhd dan Khazanah Nasional Bhd, yang telah diberi pelbagai suntikan modal.

"Tetapi saya perlu tekankan bahawa aset-aset yang diperoleh 1MDB melebihi liabilitinya.

"Kita perlu memberi masa kepada 1MDB untuk membangun atau mencairkan aset-aset ini supaya syarikat tersebut dapat melunaskan hutang-hutangnya," katanya dalam wawancara bersama Hamdan Ahmir dalam program edisi khas "Soal Jawab" TV3 yang turut disiarkan menerusi Astro AWANI malam ini.

Apabila ditanya mengenai pelaburan 1MDB di Kepulauan Cayman, Najib menegaskan bahawa wang tersebut tidak dipindahkan ke sana kerana akaun tersebut hanya untuk pendaftaran.

Beliau berkata, kepulauan itu merupakan satu "syurga cukai" di mana terdapat 200 syarikat Malaysia yang mempunyai akaun Cayman Island dan ia bukan sesuatu yang salah.

"Mereka menyimpan duit di luar negara kerana sekiranya mereka ada hutang di luar negara, mereka akan mendapat keuntungan dari segi tukaran wang asing," katanya.

Najib juga menegaskan bahawa lambat laun wang itu akan dikembalikan ke negara ini.

Dalam satu kenyataan pada 13 Januari lepas, Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda berkata syarikat berkenaan sudah menebus balik sepenuhnya US$2.318 bilion yang dilaburkan dalam dana berdaftar di Kepulauan Cayman.