Fasa kedua siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dimulakan pada bila-bila masa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan, ia selepas proses mendapatkan keterangan daripada saksi dalam negara hampir selesai, yang melibatkan lebih 25 orang individu.

"Fasa kedua ini kami (PDRM) akan menghantar pegawai ke luar negara untuk dapatkan dokumen dan merakam percakapan saksi-saksi di luar negara.

"Jadi perkara ini memakan masa, bukan hari ini suruh siasat esok boleh siap sepertimana yang dikehendaki beberapa pihak," katanya selepas majlis penutup program Trim & Fit PDRM 2016 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini hari ini.

Untuk itu polis katanya kekal komited dan tetap fokus kepada lima syor yang dikemukakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ketika ditanya mengenai pendedahan yang dibuat Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat, Khalid enggan mengulas lanjut atas sebab ianya disifatkan sebagai perbicaraan am.

"Kami tidak dirujuk dan dimaklumkan jadi saya enggan komen.

"Ia adalah prosiding sivil, bukannya jenayah. Kebimbangan kami hanya pada perkara jenayah," tegasnya.

Peguam negara AS, Loretta Lynch memaklumkan bahawa beberapa individu didapati menyalahgunakan dana syarikat 1MDB dengan memasukkan sejumlah dana ke akaun bank peribadi mereka.

"Kami tidak akan biarkan AS dijadikan platform untuk perpindahan wang haram," kata Lynch dalam satu sidang media pada Rabu untuk membincangkan saman yang difailkan untuk mendapatkan lebih daripada AS$1 bilion (RM4 bilion) yang dikaitkan dengan 1MDB.

Tambah Lynch, beliau berharap dana yang disalahgunakan ini akan dibawa kembali ke Malaysia.