Sejumlah 2,861 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia akan dihantar pulang ke negara mereka menerusi fasa pertama yang akan bermula 6 Jun ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua mereka perlu menjalani saringan RTK Antigen COVID-19 dengan disaksikan wakil Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI).

"Kumpulan pertama yang melibatkan 450 PATI akan dihantar pulang dengan tiga penerbangan ke Jakarta, Medan dan Surabaya pada 6 Jun 2020 dan diikuti pada 10 Jun 2020 dengan penghantaran pulang 445 PATI ke Jakarta, Medan dan Surabaya.

"Proses penghantaran pulang juga akan menggunakan jalan laut, di mana 1,294 PATI dijadualkan berlepas ke Medan pada 22 Jun 2020.

"Fasa kedua pula akan melibatkan 2,623 PATI yang akan dihantar pulang dalam masa dua bulan," kata beliau dalam sidang media, di sini pada Sabtu.

Menurut Ismail Sabri, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat melibatkan KBRI bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Kementerian Luar pada 28 Mei lalu.

Mengulas berkenaan PATI dari Bangladesh dan Kemboja, pihak JIM dan Wisma Putra ketika ini sedang mengadakan perbincangan dengan wakil kedutaan kedua-dua negara.

"JIM bersama Wisma Putra sedang berbincang dengan Kedutaan Nepal dan Bangladesh bagi menghantar pulang 246 PATI Nepal dan 2,476 PATI Bangladesh yang berada di Depot Tahanan Imigresen.

"Kedutaan Kemboja juga telah menyatakan kesediaan untuk menerima pulang 67 warganegara mereka yang berada di Depot Tahanan Imigresen," kata Ismail Sabri lagi.