Selepas penemuan dua rangka pada semalam dan kelmarin, Pasukan Mencari dan Menyelamat hari ini berjaya menemui dua anak Orang Asli yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi yang selamat.

Mangsa, Mirsudiar Aluj, 11 dan Noreen Yacob, 10, ditemui dalam keadaan lemah oleh pasukan tentera yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.

Menurut Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Kelantan, Nik Man Nik Ya, mereka ditemui sekitar jam 11 pagi Jumaat di kawasan pencarian.

''Dua ditemui hidup dan pihak Tentera Darat telah beri rawatan awal di SK Pos Tohoi pagi tadi. Mereka dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,'' katanya di sini, hari ini.



orang asli
Foto JBPM

Tambahnya, pasukan mencari juga menemui satu mayat yang belum dikenal pasti bersama dua murid berkenaan.

''Semalam kita jumpa dua mayat dan hari ini kita jumpa satu lagi mayat menjadikan jumlah keseluruhan yang dijumpai setakat ini adalah lima orang termasuk dua yang hidup,'' ujarnya.

Nik Man memberitahu, usaha kini diteruskan bagi mencari dua lagi murid yang masih hilang.

orang asli 2
Foto JBPM

Dua murid yang ditemui itu kemudiannya di bawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut sementara mayat yang ditemui bersama mereka dihantar ke unit forensik untuk proses suai kenal.

orang asli
Foto JBPM

Tujuh murid Orang Asli berusia antara 7 hingga 11 tahun dilaporkan hilang sejak 23 Ogos lalu selepas melarikan diri kerana bimbang akan dimarahi guru selepas mandi sungai tanpa kebenaran.

BACA: Kronologi kes kehilangan misteri 7 pelajar Orang Asli dari Pos Tohoi


Semalam, sebahagian rangka seorang kanak-kanak yang belum dikenal pasti jantina, dijumpai di Sungai Perias, kira-kira 500 meter dari Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan.

Polis mengesahkan satu rangka kanak-kanak dijumpai berdekatan tebing Sungai Perias, jam 3.30 petang dekat Pos Tohoi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah berkata rangka berkenaan, iaitu tengkorak dan beberapa batang tulang rusuk, dijumpai pada 3.50 petang, Rabu.

Pada 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Pos Tohoi, bertindak melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Tujuh murid terbabit ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10; dan Miksudiar Aluj, 11 - kesemuanya berasal dari Kampung Gawin dan Penad.