2 mati lemas di Boardwalk Setiu: Hari berseronok selepas UPSR bertukar tragedi

2 mati lemas di Boardwalk Setiu: Hari berseronok selepas UPSR bertukar tragedi
Mayat Nor Afizatul Nabihah Mohd Jaffar ditemui pada jam 2.27 petang manakala mayat Nur Qumaira Qistina Mohamad Nizam dijumpai sekitar jam 4 petang tadi. - Astro AWANI
SETIU: Dua murid Tahun Enam ditemui lemas manakala dua lagi rakan mereka terselamat ketika bermandi-manda di Boardwalk Setiu, Pengkalan Gelap pada Ahad.

Mayat Nor Afizatul Nabihah Mohd Jaffar ditemui pada jam 2.27 petang manakala mayat Nur Qumaira Qistina Mohamad Nizam dijumpai sekitar jam 4 petang tadi.

Dua lagi mangsa terselamat iaitu Nur Aisyah Syakira Ishak dan Ain Najihah Abdul Ghani, masing-masing 12 tahun berasal dari Kampung Rahmat.
Menurut ibu Nur Qumaira Qistina, Che Azlina Che Muda, mereka berkunjung ke lokasi itu kira-kira jam 9.45 pagi bersama tujuh yang lain.

Che Azlina membawa ahli keluarga serta rakan anaknya itu untuk beriadah selepas menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang tamat Khamis lalu.

“Kami datang sini hendak berkelah sebab anak saya dan kawan-kawannya baru lepas habis UPSR. Saya ada larang anak untuk jangan pergi jauh… tak sampai lima minit, saya pusing belakang dan nampak ada orang meminta tolong…” katanya sebak.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail berkata sejurus menerima panggilan pada jam 12.33 tengah hari, kekuatan 20 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, dua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang ramai kerana berada tidak jauh dari lokasi kejadian.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk dibedah siasat manakala seorang mangsa masih dirawat di Hospital Setiu dan seorang lagi dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.

Ini merupakan kes kedua yang direkodkan dalam tempoh dua bulan di lokasi yang sama.

Tag: mati lemas, Boardwalk Setiu, UPSR


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.