Polis berjaya menembak mati dua daripada enam suspek yang disyaki menyamun kedai emas di pusat beli-belah Atria Shopping Gallery, Damansara Jaya petang tadi.

Kejadian berbalas tembakan itu berlaku kira-kira 4.55 petang selepas sepasukan anggotanya bertembung dengan sekumpulan lelaki berkenaan sebaik menerima maklumat berhubung insiden tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata sepasukan anggota daripada Unit Jenayah Berat (D9) terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

"Setibanya di lobi pusat beli-belah tersebut, pihak D9 telah bertembung dengan sekumpulan lelaki memakai topi keledar bervisor dan berjaket, sedang merempuh keluar.

"Suspek kemudiannya cuba melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan dan tembakan balas terpaksa dilepaskan," katanya.

BACA: 'Rompak! Rompak! Lari!' Saksi cerita detik cemas tembak-menembak di Damansara Jaya

Insiden berbalas tembakan itu mengakibatkan dua suspek ditembak mati manakala empat lagi berjaya ditahan.

Tambah Fadzil, sejumlah barang kemas yang disamun berjaya ditemui di lokasi kejadian selain merampas tiga pucuk pistol.