Dua maut dalam kemalangan yang membabitkan lapan buah kenderaan di Kilometer 317.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan di sini lewat malam Selasa.

Mangsa merupakan seorang perempuan dewasa di dalam kenderaan Perodua Myvi dan seorang kanak-kanak lelaki di dalam kenderaan SUV Pajero.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, selain dua kenderaan tersebut, kenderaan lain yang terlibat ialah dua treler, dua lori, sebuah kereta Perodua Axia dan Honda Accord.

Keseluruhan mangsa yang terlibat ialah 14 orang iaitu sembilan lelaki, tiga perempuan dan dua kanak-kanak.



"Pihak kami dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.50 malam, dengan mendapat bantuan dari BBP Gopeng.

"Setibanya jentera di lokasi mendapati kemalangan melibatkan lapan buah kenderaan, di mana terdapat keseluruhan 14 orang mangsa yang terlibat dan dua maut di tempat kejadian.

"Dipercayai seorang kanak-kanak berbangsa Cina dari kenderaan Pajero dan seorang wanita melayu dewasa dari kenderaan Perodua Myvi maut di tempat kejadian.

"Dua lelaki Melayu yang menaiki salah satu treler cedera ringan, begitu juga seorang lelaki Cina yang menaiki Honda Accord cedera ringan.

"Seorang perempuan dewasa Melayu dan seorang lelaki Melayu dari Perodua Myvi cedera parah, serta dua lelaki Melayu dari Perodua Axia cedera ringan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dari Perodua Myvi, Pajero dan Honda Accord menggunakan hydraulic cutter.

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan dan mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi tamat pada pukul 1.48 pagi.