Dalam tempoh lima tahun akan datang, sebanyak 20,000 peluang pekerjaan akan terhasil merangkumi aktiviti pembinaan, operasi serta penyelenggaraan infrastruktur digital.

Sasaran jumlah berkenaan berdasarkan pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang mampu menawarkan peluang pekerjaan termasuk kepada golongan yang tinggal di luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pelan itu juga mampu dimanfaatkan oleh syarikat pemberi perkhidmatan, kontraktor-kontraktor kecil dan pembekal peralatan yang akan memberi impak yang positif kepada ekonomi negara.

“Projek-projek NFCP ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan B40 dan M40, di mana pelbagai kepakaran dan kemahiran diperlukan untuk membina infrastruktur digital ini” katanya.

Wan Azizah berkata demikian ketika berucap melancarkan NFCP itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Menurut beliau, infrastruktur digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik ini secara langsung akan memberikan nilai tambah kepada golonganyang kurang berpeluang untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital seperti golongan ibu-ibu tunggal dan Orang Asli.

Selain itu, pelan berkenaan juga dirangka bagi membolehkan membolehkan industri-industri berkaitan seperti pelancongan, pertanian dan komoditi di setiap negeri dapat bersaing secara terus di pasaran antarabangsa.

Beliau turut menganggarkan pelaksaan NFCP bagi tempoh lima tahun (bermula 2019) akan menelan kos sebanyak RM21.6 bilion.

Katanya, sebahagian daripada kos berkenaan akan mendapat sokongan daripada Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) ataupun Universal Service Provision (USP) Fund.

Berpaksikan tujuh sasaran utama, NFCP merupakan pelan pelaksanaan lima tahun (2019-2023) yang dinamik dan akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.

Di bawah NFCP juga, kata Wan Azizah, kira-kira 4.14 juta premis di seluruh negara akan mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar kelajuan yang lebih tinggi melalui rangkaian gentian optik.

“Lebih ramai rakyat akan mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar, termasuk di kawasan pinggir bandar dan luar bandar,” kata beliau lagi.

Selain itu, beliau turut menyifatkan pelaksanaan NFCP juga penting memastikan Malaysia kekal sebagai ‘preferred choice’ bagi pelabur asing.

Dalam masa sama, Wan Azizah mengharapkan pelan yang dirangka kerajaan ini berupaya memperkasakan rakyat Malaysia dengan kesalinghubungan digital yang mampan, berkualiti tinggi, menyeluruh dan mampu milik.

Berikut tujuh sasaran yang digariskan dalam NFCP:

1. Pakej permulaan jalur lebar talian tetap pada kadar 1% Pendapatan Negara Kasar (GNI) (2020).

2. Ketersediaan kelajuan Gigabit di kawasan perindustrian terpilih menjelang 2020 dan ke semua ibu negeri (2023).

3. 100% premis di ibu negeri dan kawasan berimpak tinggi terpilih tersedia dengan capaian minima 500Mbps (2021).

4. 20% premis di kawasan pinggir bandar dan luar bandar tersedia dengan capaian sehingga 500Mbps (2022).

5. Rangkaian gentian optik meliputi 70% sekolah, hospital, perpustakaan, balai polis dan pejabat pos (2022).

6. Kelajuan purata 30Mbps di 98% kawasan berpenduduk (2023).

7. Penambahbaikan liputan mudah alih di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo (setelah selesai pembinaan).