Kira-kira 20 peratus daripada 1,298 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) telah menuju ke arah Sekolah Digital, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Chong Sin Woon.

Beliau berkata trend ke arah Sekolah Digital itu meningkat sekitar tahun 2013 bagi menarik pelajar ke sekolah dengan menawarkan pelbagai kemudahan kepada pelajar untuk menyediakan persekitaran yang lebih kondusif dan interaktif.

"Saya lihat trend ini mendapat sambutan terutama sekolah luar bandar yang rata-ratanya mahu setanding dengan sekolah bandar," katanya selepas merasmikan Bangunan Baharu dan Sekolah Digital di SJKC Uk Dih, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pendidikan Perak, Mohd Rosli Ahmad dan Pegawai Pendidikan Daerah Manjung, Suhaimi Ramli.

Bangunan baharu dua tingkat itu dilengkapi 12 kelas dibina dengan kos sebanyak RM600,000 menggantikan bangunan kayu yang uzur berusia 70 tahun.

Chong berkata ibu bapa lebih cenderung menghantar anak mereka ke sekolah yang menyediakan kemudahan lengkap dan terkini bagi memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang lengkap.

Beliau juga berkata melalui Sekolah Digital berkenaan, ia dapat mewujudkan suasana yang interaktif dan persekitaran mesra dalam kelas.

"Ia juga bersesuaian apsirasi kelas abad ke-21 kerana kita tidak mahu pembelajaran di kelas berunsur sehala.

Jika dahulu kita hanya memfokuskan kepada guru, sekarang kita memberi fokus kepada pelajar kerana mereka yang menerima maklumat dan apa-apa bahan pengajaran," katanya.

-- BERNAMA