Selepas hampir 20 tahun dibelenggu dengan pelbagai masalah, akhirnya tuah memihak kepada 987 peneroka di bawah rancangan Revolusi Hijau II & III di sini, selepas mereka menerima rumah sendiri di Eco Grandeur, tajaan Eco World Group Bhd.

Melalui rancangan itu, setiap peneroka menerima sebuah rumah dua tingkat, berkeluasan 1,750 kaki persegi dengan harga pasaran sekitar RM500,000.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sewaktu berucap di majlis itu berkata, beliau amat gembira melihat pengorbanan dan segala keperitan yang dialami peneroka terlibat akhirnya berjaya diselesaikan.

“Anda telah menunggu selama 20 tahun. Kita pernah dengar sebuah lagu penantian satu penyeksaan. Dan ini benar-benar satu penyeksaan dua puluh tahun. Namun kerana kita sabar, kita tabah, kita bekerja sebagai satu keluarga dan satu pasukan...hari ini kita akan memiliki dan menduduki rumah rumah yang cukup selesa dan selamat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Amirudin Shari Menteri Besar Selangor, dan juga kepada Eco World, dan kepada KWSP, yang cukup komited untuk merealisasikan harapan dan memenuhi aspirasi rakyat dan peneroka peneroka dalam komuniti Laman Haris pada hari ini,” katanya lagi.

Turut hadir memeriahkan majlis selain Amirudin, ialah Pengerusi Eco World Tan Sri Liew Kee Sin, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah.

Berucap lanjut, Azmin berkata, dalam usaha menyelesaikan kemelut itu, pelbagai rintangan dilalui bukan sahaja oleh beliau sewaktu menjadi Menteri Besar Selangor pada 2014, malah beberapa penduduk juga telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu.

“Sebaik sahaja kita umumkan penyelesaian, saya ketika itu di peringkat negeri, walaupun selaku Menteri Besar, saya ditekan, oleh pihak berkuasa di peringkat persekutuan. Setiap minggu SPRM datang. Setiap minggu pejabat saya diserbu, pegawai saya ditekan, kenyataan diambil.

“Namun yang paling tersentuh perasaan saya apabila dua orang peneroka, Tuan Haji Omar dan saudara Abdul Hamid Johari, bukan sahaja ditekan, tetapi ditangkap, ditahan, diaibkan,” katanya lagi.