Tutup

200 penduduk Kluang sertai solat sunat Istisqa minta hujan di Empangan Machap

200 penduduk Kluang sertai solat sunat Istisqa minta hujan di Empangan Machap
Solat sunat Istisqa adalah solat sunat dua rakaat yang dikerjakan untuk memohon hujan. - Gambar hiasan
KLUANG: Kira-kira 200 penduduk sekitar Simpang Renggam, dekat sini, hari ini menunaikan solat sunat Istisqa di Empangan Machap, dalam usaha untuk memohon hujan berikutan cuaca panas kebelakangan ini sehingga menyebabkan paras air menyusut di empangan itu.

Solat anjuran Pejabat Daerah Kluang, Pejabat Parlimen Simpang Renggam, Pejabat Agama Kluang dan Ranhill SAJ Kluang itu bermula pada pukul 3.30 petang itu diimamkan oleh Kadi Kluang Fauzi Bachok, dan ia turut disertai kira-kira 30 pelajar dari Madrasah Tahfiz Al-Faizien.

Turut menunaikan solat sunat yang di susuli dengan khutbah khas itu ialah Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri Aminolhuda Hassan.

Maszlee, yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata pihaknya telah sama-sama mengambil inisiatif bersama agensi berkaitan untuk mengadakan solat mohon hujan hari ini dan berterima kasih kepada semua mereka yang terlibat.
"Solat istisqa ni solat minta hujan, bila taburan hujan kurang, hujan tidak turun lama, Empangan Machap yang membekalkan air ke Simpang Renggam, kita dapati semakin berkurangan airnya..bila berkurangan Ranhill SAJ terpaksa mencatukan bekalan air..buat sementara waktu ini, kita terpaksa menghadapi catuan air," katanya kepada pemberita selepas bersama solat berjemaah dengan masyarakat setempat di Empangan Machap, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kluang Ismail Abu yang turut hadir berkata penglibatan masyarakat setempat dalam solat itu dilihat amat menggalakkan.

"Insya Allah, mudah-mudahan Allah turunkan hujan. Selain solat ini, kita juga akan usaha dengan agensi-agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran dan Ranhill SAJ dalam, membantu kita mengatasi isu bekalan air ini," kata Ismail.
Salah seorang penduduk dari Kampung Batu Enam, Simpang Renggam, yang turut menyertai solat itu, Zarina Yaakob menyifatkan masalah bekalan air turut menganggu kehidupan seharian keluarganya.

"Susah juga tiada air, kena bercatu, kena siap-siap air, hari-hari kita macam (tertanya), kalau air kelur, kita macam fikir ada air ke tak? Lepas tu, kita takut berlarutan, kalau sebulan takpe, taku masuk tiga hingga empat bulan, risau juga budak-budak nak sekolah..semuanya," kata suri rumah itu.

Pada 3 Sept lepas, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pihak Ranhill SAJ telah melaksanakan bekalan air berjadual (BAB) di tiga kawasan di Johor sejak 2 Sept berikutan cuaca panas yang berpanjangan serta kekurangan taburan hujan sejak dua minggu lepas, sehingga 2 Okt ini.

Menurut kenyataan SPAN itu, cuaca panas itu telah menyebabkan paras air di Empangan Machap, dekat sini, terkesan secara langsung selain tiga empangan yang turut berada di bawah paras kritikal iaitu melibatkan Empangan Lebam, Empangan Uper Layang dan Empangan Pulai.

-- BERNAMA

Tag: solat sunat, istisqa, empangan machap, mohon hujan, cuaca panas, paras air menyusut, maszlee malik


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.