Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan sebanyak 201 kes telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes yang sembuh adalah 2,967 kes atau 56.5 peratus jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata statistik terbaharu itu menyaksikan bilangan kes yang didiscaj terus menunjukkan peningkatan berbanding kes baharu yang dilaporkan setakat Jumaat.

"Sehingga 17 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 69 kes baharu yang telah dilaporkan.

"Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,251 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,198 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

"Sehingga kini, seramai 51 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 26 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata dua lagi kematian dilaporkan akibat COVID-19 di negara ini menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah sebanyak 86 kes atau 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jelasnya, kedua-dua mangsa yang merupakan warganegara Malaysia disahkan meninggal dunia pada Jumaat.

"Kes kematian ke-85 (kes ke-5064) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19, iaitu kes ke4657 berkaitan dengan kluster PUI Bali.

"Beliau telah dirawat untuk penyakit barah darah di sebuah pusat perubatan swasta dan kemudiannya dipindah ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 15 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 16 April 2020 jam 3.30 petang.

"Kes kematian ke-86 (kes ke-5183) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan strok.

"Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19, iaitu kes ke-2321.

"Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 1 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 16 April 2020 jam 8.56 malam," katanya lagi.