Tahun 2013 akan diingati sebagai antara tahun yang penting dalam kalendar politik negara kerana tahun ini Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang dianggap ibu segala pilihan raya diadakan dan juga pemilihan pucuk pimpinan parti-parti utama di negara ini.

Setelah sekian lama menunggu dan berteka-teki, akhirnya pada 3 April 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran parlimen bagi membolehkan PRU13 diadakan. Pembubaran parlimen diumumkan oleh perdana menteri selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

"Pembubaran ini membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 sejak negara merdeka," kata beliau dalam pengumuman khas yang dibuat dari Pejabat Perdana Menteri dan disiarkan secara langsung menerusi televisyen jam 11.30 pagi.

Pengumuman ini dibuat ketika Najib genap empat tahun menjadi perdana menteri. Mandat kerajaan pusat berakhir pada 28 April. PRU12 diadakan pada 8 Mac 2008.

Pembubaran parlimen itu juga dibuat seminggu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan terbubar dengan sendirinya pada 28 Mac 2013.

Ini kali pertama pilihan raya umum diadakan selepas genap lima tahun selepas satu-satu pilihan raya umum.

Setelah pembubaran tersebut, Suruhanjaya Piliha Raya (SPR) menetapkan Sabtu, 20 April 2013, sebagai tarikh penamaan calon dan 30 April untuk pengundi awal manakala 5 Mei sebagai tarikh pengundian. Pengumuman yang dibuat SPR ini menjadikan tempoh kempen untuk parti politik sebanyak 14 hari.

"SPR menetapkan penamaan calon pada 20 April, tarikh pengundi awal pada 30 April, dan tarikh mengundi pada 5 Mei 2012," kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusuf ketika sidang media di Ibu Pejabat SPR.

Pada 5 Mei, lewat malam, Keputusan PRU13, SPR mengumumkan Barisan Nasional (BN) menang di 133 kerusi Parlimen sekaligus dapat membentuk kerajaan dengan majoriti tipis. Manakala Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapat 89 kerusi parlimen. UMNO selaku tunjang utama BN mendapat 88 kerusi.

Statistik keputusan PRU13

Kemenangan BN dalam PRU-13 baru-baru ini banyak ditunjangi oleh kemenangan besar kerusi yang ditandingi UMNO dan peningkatan sokongan pengundi Melayu sehingga 70 %. Pada PRU12, UMNO yang bertanding 117 kerusi perlimen hanya memenangi 79 kerusi.

Pada PRU-13 kali ini UMNO bertanding di 121 kerusi parlimen dan berjaya meningkatkan jumlah kerusi kepada 89 berbanding PRU lepas. Selebihnya ialah kerusi yang dimenangi oleh parti-parti komponen BN termasuk daripada Sabah dan Sarawak yang menjadikan kerusi yang dimenangi BN berjumlah 133 kerusi.

Kejayaan BN merampas Kedah daripada Pakatan Rakyat membuktikan bahawa sokongan dan kepercayaan orang-orang Melayu di Kedah terhadap UMNO dan BN sudah kembali. Di negeri Jelapang Padi itu, UMNO berjaya mengekalkan kerusi parlimen yang dimenangi pada 2008 dan merampas kerusi parlimen yang merupakan kubu kuat PAS dan Pakatan Rakyat di Kedah seperti Sik, Baling, Padang Terap, Pendang, Kulim-Bandar Bharu, Merbok dan Jerai berjaya dirampas kembali ke tangan UMNO selain mengekalkan parlimen yang menang pada 2008.

PRU13 yang lalu,menyaksikan PAS mengalami kemerosotan berbanding tahun 2008. PRU-13 menyaksikan PAS kalah 52 kerusi daripada 73 kerusi Parlimen yang ditandinginya dengan hanya peroleh 21 kerusi Parlimen.

Pada 2008, PAS kalah di 43 kerusi daripada 66 kerusi Parlimen ditandinginya dan memperoleh 23 kerusi.

Beberapa pemimpin tertinggi PAS juga tewas kepada calon barisan Nasional (BN) termasuk Timbalan Presidennya Mohamed Sabu di Kedah, Naib Presiden Salahuddin Ayub di Johor dan seorang lagi Naib Presiden Datuk Husam Musa di Putrajaya.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) PAS bertanding 237 kerusi dan menang 85 kerusi berbanding 83 kerusi pada pilihan raya umum 2008 iaitu di Terengganu, Johor, Melaka dan Selangor.

Di Kedah, PAS menang 8 kerusi DUN, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang tiga kerusi dan DAP pula dua kerusi menjadikan Pakatan Rakyat hanya menang 15 kerusi daripada 36 kerusi DUN di negeri Jelapang Padi itu.

BN berjaya memenangi 21 kerusi di Kedah dan membolehkan Datuk Mukhriz Mahathir menjadi Menteri Besar Kedah yang baharu.

Pada PRU 2008, PAS bertanding 24 kerusi DUN, PKR (11) dan DAP satu kerusi. Pada PRU12, PAS memenangi 15 kerusi DUN, PKR (lima) dan DAP (satu).

Pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berpendapat faktor kembalinya sokongan ahli UMNO yang protes pada 2008 menyebabkan Kedah kembali ke pangkuan BN.

"PAS dan Pakatan Rakyat gagal untuk mengekalkan sokongan daripada pengundi UMNO yang berpihak kepada mereka pada 2008.

"Selain itu krisis dalaman PAS Kedah dan pergeseran mereka (PAS) dan sekutu dalam Pakatan Rakyat menyebabkan hilangnya keyakinan rakyat," katanya kepada Astro AWANI.

Kelemahan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak seperti isu kuil, pembalakan dan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) adalah antara faktor mendorong orang Melayu memberi undi kepada BN.

Lebih menyedihkan apabila PAS gagal mempertahan parlimen Pendang yang sinonim dengan Presiden PAS ke-6, Allahyarham Datuk Fadzil Noor. Mohamad Sabu yang mewakili PAS di kerusi itu kalah kepada Othman Abdul dari BN dengan majoriti 2,638 dan keputusan ini dijangkakan akan memberikan kesan kepada kedudukan beliau dalam pemilihan parti pada muktamar yang menyusul.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan Pas hanya menguasai satu daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah diikuti sekutunya PKR empat kerusi manakala BN 10 kerusi. PAS Kedah hanya memiliki satu kerusi parlimen iaitu Pokok Sena yang dimenangi oleh Naib Presiden, Mahfuz Omar.

Pada 2008, Bagi kerusi Parlimen, PAS bertanding di lapan kawasan dan PKR tujuh. PAS menang lima daripada lapan kerusi yang ditandingi manakala PKR menang enam daripada tujuh kerusi manakala BN menang empat kerusi.

PRU-13 juga menyaksikan Pas merupakan parti pakatan pembangkang yang peroleh jumlah yang kecil untuk Parlimen berbanding DAP 38 kerusi dan PKR 30 kerusi.

Selain hilang Kedah, PAS hilang lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan, iaitu daripada 38 kerusi kepada 33 kerusi DUN pada PRU-13. BN menang 12 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan, peningkatan sekali ganda daripada enam kerusi yang dimenangi pada 2008. BN menambah satu lagi kerusi DUN di Kelantan setelah memenangi pilihan raya kecil DUN Galas pada November 2010. Berdasarkan kedudukan dalam DUN yang diperolehnya menunjukkan bahawa isu royalti minyak di Kelantan tidak mampu menambat hati semua rakyat di negeri itu.

Tidak sampai dua bulan selepas PRU13, kerusi DUN Kuala Besut kosong apabila penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

Pada PRU13, DR A. Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 apabila mengalahkan calon muslimah PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Ekoran kematian Dr A. Rahman Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut, Terengganu ditetapkan pada 24 Julai, pengundian awal 20 Julai manakala tarikh penamaan calon ialah 12 Julai.

Pilihan raya kecil ini masa getir memandangkan, kematian Dr A. Rahman menyebabkan BN mentadbir Terengganu dengan hanya berbeza satu kerusi. Kedudukan di DUN menjadi 16 BN dan 15 Pakatan Rakyat.

Setelah pilihan raya kecil diadakan, Calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman diumumkan menang kerusi DUN Kuala Besut dengan majoriti yang meningkat, sekaligus menafikan hasrat Pas untuk mencipta kemenangan 16-16 kerusi DUN Terengganu.

calon bn kuala besut

Calon BN Tengku Zaihan memperoleh 8,288 undi, manakala calon Pas, Endut @ Azlan Yusof atau lebih dikenali sebagai Che Long memperolehi 5,696 undi. Dengan itu, BN mengekalkan kemenangan di DUN Kuala Besut dengan majoriti 2,592 undi berbanding sebelum ini yang mendapat 2,434 undi sebelum ini.

BN juga turut berjaya mengekalkan status quo 17:15 kedudukan kerusi DUN Terengganu.

Dua bulan selepas pilihan raya kecil DUN Kuala Besut diadakan, berlaku pula kekosongan bari kerusi DUN Sungai Limau ekoran kematian penyandangnya Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah akibat komplikasi jantung dan jangkitan penyakit kencing manis.

PAS berjaya mengekalkan kemenangan mereka di DUN Sungai Limau yang disandang sejak tahun 1995 tetapi dengan majoriti jauh lebih kecil berbanding dua pilihan raya lalu.

calon pas sg limau

Calon PAS Mohd Azam Samat memperoleh undi sebanyak 12,069, manakala calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim pula memperoleh undi sebanyak 10,985, sekaligus menyaksikan PAS menang dengan majoriti sebanyak 1,084.