Seramai 102 rakyat Malaysia di Chennai, India dan 103 rakyat Malaysia di Arab Saudi selamat pulang ke tanah air pada 8.10 malam semalam dan 12:00 tengah hari tadi.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kesemua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi pesawat Malindo Air dan Saudia Airlines.

"Selaras dengan peraturan yang ditetapkan kerajaan, kesemua mereka wajib menjalani proses saringan kesihatan setibanya di KLIA serta perlu menjalani proses kuarantin 14 hari di kediaman masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kepulangan kumpulan rakyat Malaysia itu telah dimudahcara oleh Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, India dan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, Arab Saudi.

Kos pembiayaan ditanggung secara sendiri penumpang.

Perwakilan-Perwakilan Diplomatik Malaysia di India dan Arab Saudi akan meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia di India dan Arab Saudi.