Tutup

21 ditahan gaduh di Jalan Telawi, Bangsar

21 ditahan gaduh di Jalan Telawi, Bangsar
Pasukan polis melakukan siasatan ke atas sebuah kereta jenis Perodua Axia yang ditinggalkan di hadapan sebuah bank di Jalan Telawi, Bangsar, pagi tadi. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pihak polis telah menahan 17 lelaki dan 4 wanita yang dipercayai terbabit dalam satu insiden pergaduhan di sebuah restoran di Jalan Telawi, Bangsar awal pagi tadi.

Pihak polis dalam satu kenyataan berkata kejadian berlaku di hadapan sebuah restoran makanan India pada jam 3.10 pagi.

Pergaduhan itu melibat lebih daripada 30 orang lelaki.

“Sebuah kenderaan jenis Perodua Axia dalam keadaan pecah cermin belakang telah mengundur dengan laju dan hampir melanggar Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Pantai 57 dan kemudian telah memecut dengan laju menghala ke Jalan Ara, Bangsar.
"Pada masa yang sama, pihak polis yang ketika itu sedang melakukan rondaan di kawasan sekitar dari arah Jalan Ara menghala ke Jalan Telawi telah berselisih dengan kereta jenis Perodua Axia tersebut.

Anggota polis yang berada di luar kenderaan MPV turut hampir dilanggar.
“Akibat merasakan keadaan ketakutan dan ancaman, satu das tembakan telah dilepaskan ke arah kenderaan tersebut,” kata kenyataan itu lagi.

Susulan itu, selain kenderaan Perodua Axia, polis juga menahan beberapa kenderaan jenis lain iaitu Perodua Myvi dan Toyota Vellfire yang disyaki terlibat dengan kes ini.

Beberapa barangan turut dirampas termasuk topi keledar, sebatang besi berukuran 1 meter, pisau pemotong kertas, T Batton, sebotol minuman keras, dan sehelai jacket yang mempunyai kesan darah.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh dan Seksyen 307 kanun yang sama atas kesalahan cubaan bunuh.