Dua puluh satu rakyat Malaysia disyaki menjadi 'keldai dadah' yang ditahan di sini Mac lepas susulan rampasan sejumlah besar dadah, mungkin akan merengkok di penjara sepanjang hayat mereka jika disabitkan kesalahan.

Menurut maklumat diperoleh Bernama daripada Mahkamah Jenayah Ratchada di sini baru-baru ini, mereka dikenakan pertuduhan mengikut Akta Narkotik Thailand kerana memiliki dan menjual Bahan Kategori 1.

Bahan Kategori 1 termasuk heroin, amphetamine, methamphetamine, MDMA (Ecstasy) dan LSD.

Pertuduhan terhadap kesemua rakyat Malaysia itu melibatkan pemilikan 14 kepingan heroin seberat 6.958kg dan 226 peket methamphetamine seberat 224.592kg.

Menurut maklumat daripada mahkamah itu, pendakwa membentangkan kes mengenai suspek pada 17 Jun setelah siasatan selesai dijalankan, sebelum kesemua mereka dihadapkan ke mahkamah untuk pertama kali pada 29 Ogos bagi tujuan pemeriksaan keterangan.

Mereka dijadualkan hadir sekali lagi di Mahkamah Jenayah Ratchada pada 19 Dis untuk tujuan pemeriksaan dan penyiasatan keterangan.

Menurut maklumat mahkamah, 21 rakyat Malaysia itu ialah Muhammad Aisamuddin Abd Razak, Maznezam A Manap, Nabil Syafiq Kamal, Idris Syarif Syaifuddin, Kamaludin Sarju, Ngor Kien Yew, Kenny Lim Wei Liang, Seah Chin Wee, Liew Pow Swee dan Yap Chun Man.

Suspek lain ialah Tan Chat Phem, Woon Ming Sheng, Wong Kah Seng, Loo Chee Aik, Lim Chee Wei, Choong Weng Wah, Teo Wei Lun, Leong Wai Hong, Ho Wai Hai, Heiw Chen Khuin dan Chan Mun Kin.

Mereka ditangkap pada 23 dan 24 Mac dalam dua kumpulan seramai 15 dan enam lelaki oleh Polis Kereta Api di empat stesen dan dalam sebuah van.

Kereta api yang dinaiki mereka pula adalah dalam perjalanan ke Butterworth dari Hualamphong, Bangkok.

Polis Thailand menyifatkan rampasan dadah itu sebagai antara yang terbesar kebelakangan ini, manakala penyiasat pula mendakwa dadah berkenaan disasarkan untuk pasaran Eropah.

Menurut seorang pegawai polis Thailand yang menyiasat kes itu, rakyat Malaysia terbabit boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.

Kata pegawai yang enggan dikenali itu, walaupun Akta berkenaan memperuntukkan hukuman mati kepada pesalah, tetapi Thailand tidak melaksanakannya. -- Bernama