23 inisiatif tangani kesesakan di Tambak Johor sudah mula dilaksana

23 inisiatif tangani kesesakan di Tambak Johor sudah mula dilaksana
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas, diberi taklimat mengenai status terkini inisiatif yang sudah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor - Kementerian Dalam Negeri
KUALA LUMPUR: Sebanyak 23 insiatif yang telah diperakukan oleh Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor Bilangan 1 2019 pada 21 Ogos lalu, sudah mula dlaksanakan dalam tiga fasa.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataannya pada Selasa memaklumkan, tiga inisiatif berkenaan dilaksanakan dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Bagi inisiatif jangka masa sederhana dan panjang serta memerlukan peruntukan kewangan pula, langkah-langkah perancangan dan reka bentuk teknikal sedang dilaksanakan dan kerja-kerja pembangunan iaitu ubah suai dan naik taraf bangunan akan bermula pada 2020" kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, bagi membolehkan pelaksanaan, kerajaan telah meluluskan peruntukan kewangan RM85 juta pada tahun 2020 sebagaimana yang diumumkan semasa ucapan bajet oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

"Manakala penambahbaikan dan tambahan peralatan untuk sistem kawalan pintu masuk seperti Malaysian Automated Clearance System (MACS) dan M-BIKE, sebahagiannya bermula dan akan selesai tahun hadapan," kata kenyataan itu lagi.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas, hari ini juga telah diberi taklimat mengenai status terkini inisiatif yang sudah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor berkenaan.

Beliau juga sudah dimaklumkan kaunter tambah nilai Touch N Go di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) ditutup manakala kiosk tambah nilai Touch N Go di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) pula akan ditutup bermula pada 29 Oktober ini.

“Tempoh ini diberikan bagi membolehkan hebahan kepada semua pengguna dibuat secara meluas dan mengelakkan kesesakan disebabkan oleh pengguna yang kekurangan baki nilai dalam kad Touch N Go.

“Jawatankuasa ini juga dimaklumkan mengenai pelan komunikasi berkesan yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa supaya hebahan mengenai inisiatif kerajaan menangani kesesakan dan informasi terkini trafik dapat dibuat secara teratur dan sampai kepada kumpulan sasar,” kata KDN.

Justeru, Muhyiddin menerusi kenyataan tersebut menggesa semua lima Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) melipat ganda usaha untuk memastikan semua inisiatif dilaksanakan mengikut jadual, manakala pihak yang diberi tanggungjawab dalam aspek operasi di pintu masuk, khususnya Jabatan Imigresen dan polis, sentiasa memantau kesesakan di kedua-dua CIQ.

Menurutnya, keputusan perlu dibuat dengan segera bagi mengurangkan kesesakan seperti cuti perayaan Deepavali yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.

Dalam memastikan semua inisiatif dilaksanakan dengan segera, KDN menubuhkan lima TWG supaya semua inisiatif berkenaan digerakkan secara serentak.

Lima TWG berkenaan adalah TWG1: Naik Taraf Kompleks Pintu Masuk dan Tambak Johor; TWG 2: Dasar Sumber Manusia; TWG 3: Naik Taraf Automated Check Point & Border System; TWG 4: Kajian Kebolehlaksanaan serta TWG 5: Pengurusan Pelan Komunikasi.

Keanggotaan TWG ini terdiri daripada pegawai pelbagai kementerian dan agensi antaranya Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan.

Ia juga termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, PLUS Malaysia Berhad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.


Tag: Muhyiddin Yassin, Kementerian Dalam Negeri, bajet, Tambak Johor, Kementerian Kewangan, Lim Guan Eng, kerajaan, ekonomi



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.