Tragedi pembunuhan beramai ramai 8,000 umat Islam Srebrenica di Bosnia - Herzegovina 25 tahun lalu menyaksikan keadilan tidak berpihak kepada umat Islam di negara itu sehingga kini.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, sepanjang tempoh itu juga, dunia hanya mampu menyaksikan kekejaman terbesar sejak Perang Dunia Kedua dilakukan pada zaman Eropah moden.

"Walaupun banyak generasi hari ini mungkin tidak pernah mendengar tentang Srebrenica,tempat perlindungan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang ditetapkan, tetapi Bosnia - Herzegovina menyaksikan pesta penyembelihan berdarah," kata Dr Mahathir dalam kenyataan sempena ulang tahun ke-25 tragedi pembunuhan Srebrenica pada Ahad.

Tambahnya, kanak kanak lelaki dipaksa menggali kubur mereka sendiri sebelum ditembak mati dan ditanam di kubur yang sama.

Kekejaman yang dilakukan itu juga, tegas bekas Perdana Menteri itu, memperlihatkan bagaimana dunia hanya senyap dan seolah olah memberi laluan kepada kekejaman berdarah itu dilakukan.

"Tiga tahun sebelumnya, Eropah dan dunia duduk dan menyaksikan perang Bosnia memperlihatkan bagaimana orang Serbia dibenarkan melakukan kekejaman yang mengerikan terhadap umat Islam Bosnia.

"Di bawah kekuatan pasukan PBB, penghapusan umat ​​Islam dalam pembunuhan beramai-ramai yang dilancarkan oleh orang Serbia dibenarkan untuk berlanjutan dan dilihat hampir bebas melakukannya," tegas Dr Mahathir lagi.

Kata Dr Mahathir, apa yang lebih malang ialah sekalipun, kedamaian telah dicapai,namun Bosnia Herzegovina telah berpecah dua dan tidak dapat ditadbir dengan baik akibat itu.

Malang tambah berganda apabila pelaku pembunuhan dihargai dan mendapat kawasan pentadbiran mereka sendiri iaitu Republik Srpska yang merupakan sebahagian daripada Bosnia.

"Sistem presiden bergilir yang dikenakan ke seluruh Bosnia dan Herzegovina menjadikan Bosnia tidak dapat ditadbir dengan berkesan, apatah lagi untuk maju dan berkembang.

"Hari ini, 25 tahun kejadian Srebrenica atau rakyat Bosnia-Herzegovina yang masih hidup. Mereka tidak dapat bergembira tiada keadilan yang ditegakkan kepada mereka," ujar Dr Mahathir lagi.